KUALA LUMPUR: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan kesediaan untuk membantu mahasiswa yang ditahan sewaktu mengadakan protes Auku di UPSI malam tadi.
Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, Pengarah Juham Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi berkata, sejak berita penahanan mahasiswa itu diketahui awal pagi tadi, lima orang peguam juham diketuainya telah berkampung di Balai Polis Tanjung Malim. "Juham bersedia untuk mewakili para mahasiswa tersebut di dalam prosiding reman yang dipercayai akan dilakukan pada lewat hari ini sekiranya Polis berhasrat untuk terus menahan mahasiswa-mahasiswa terbabit.
"Juham menyeru kepada mana-mana pihak termasuk para mahasiswa yang menyaksikan kejadian tersebut dan yang menjadi mangsa keganasan polis ketika perhimpunan tersebut untuk tampil ke hadapan dan menghubungi Juham di talian 013-3506495 dan 013-3006943 bagi membantu pihak Juham mengumpulkan bukti-bukti keganasan pihak Polis di dalam perhimpunan tersebut," katanya. Insiden malam tadi menyaksikan Presiden Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik Muhammad Safwan Anang patah tulang rusuk, seorang lagi Amar Rasyidi cedera di kepala manakala 20 mahasiswa ditahan.
Mereka ditahan secara kasar oleh polis ketika sedang mengadakan protes pada Himpunan Kebebasan Akademik (BEBAS) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam tadi.
Difahamkan, setakat ini, Safwan masih terlantar di Hospital Slim River. Menurut Ahmad Zamri lagi, Juham yang terdiri daripada barisan peguam-peguam di seluruh Malaysia berikrar akan membela dan menyokong para Mahasiwa ini sekiranya mereka didakwa di Mahkamah.
Malah, Juham juga ujarnya bersedia untuk memberikan khidmat nasihat guaman percuma kepada para Mahasiswa ini sekiranya mereka dipanggil untuk menghadiri tindakan tatatertib sebagai bukti sokongan padu Juham kepada gerakan Mahasiswa yang mendokong kebenaran dan keadilan.
"Juham dengan tegas memberikan amaran kepada pihak Polis yang terbabit dalam memukul mahasiswa-mahasiswa tersebut untuk bersedia disaman di Mahkamah oleh para mahasiswa yang terlibat kerana tindakan pihak Polis tersebut jelas merupakan tindakan yang zalim, tidak munasabah dan bertentangan dengan norma-norma hak asasi manusia," tegasnya. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan