Selasa, 24 Januari 2012

Ops Sikap ke-25 catat 93 maut setakat ini

Ops Sikap ke-25 sempena sambutan Tahun Baru Cina mencatatkan 93 kematian setakat ini, setelah sembilan lagi maut dalam kemalangan di seluruh negara pada hari kelapan, semalam.

Laman web Polis Diraja Malaysia melaporkan enam kematian membabitkan penunggang motosikal dan tiga pengguna kereta, lapor Bernama.

Laporan itu juga menyebut jumlah kemalangan menurun kepada 973 kes semalam berbanding 1,161 pada hari sebelumnya.

Jalan bandaran kekal mencatatkan rekod kemalangan tertinggi dengan 310 kes, diikuti jalan persekutuan (302), jalan negeri (170), lebuh raya (124) dan 63 kes bagi jalan-jalan lain.

Sebanyak 17,736 saman dikeluarkan menjadikan jumlah terkumpul 138,574 saman membabitkan pelbagai kesalahan.

Ops Sikap kali ini akan berakhir pada 30 Januari.

Trafik lancar, kenderaan meningkat

Sementara itu, agensi berita nasional itu juga melaporkan, aliran trafik di lebuh raya utama dilapor bergerak lancar pagi ini, namun jumlah kenderaan semakin meningkat.

Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) menerusi laman Twitternya melaporkan aliran trafik lancar di semua lebuh raya kendaliannya termasuk di Lebuhraya Linkedua dan Jambatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun dua kemalangan dilaporkan berlaku di Lebuhraya Utara Selatan iaitu di kilometer 125.4 arah utara dari Yong Peng ke Pagoh pada pukul 10.10 pagi ini, dan di kilometer 152.4 arah selatan dari Bukit Tambun ke Jawi pada 10.07 pagi.

Kedua-dua kemalangan itu tidak menjejaskan aliran trafik.

Plus turut menasihati pengguna lebuh raya agar mengikut Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi mengelakkan kesesakan trafik, memandangkan hari ini merupakan hari terakhir cuti umum sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi laman Twitternya melaporkan satu kemalangan berlaku di Km 279.0 arah utara berhampiran Seremban-Nilai, melibatkan sebuah kereta pada 9.06 pagi ini.

Tiada ulasan: