Khamis, 19 Januari 2012

Letakkan Tarikh Akhir Untuk Perbaiki Sistem Pilihanraya

SELATAN ONLINE



Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menyokong usaha Bersih 2 untuk mengadakan himpunan bersih kali ketiga sekiranya cadangan mengenai reformasi pilihanraya yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dan tuntutan Bersih 2.0 gagal dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

DPPM berpandangan, sekiranya kerajaan gagal menepati syor dan cadangan PSC serta cadangan Bersih 2, ini bermakna kerajaan tidak serius mahu membersihkan sistem pilihanraya di Malaysia.

Kerajaan juga dianggap menipu dan hanya ‘bermain wayang’ dengan penubuhan PSC kononnya mahu memperbaiki sistem pilihanraya di Malaysia, hakikatnya mereka tidak berniat mahu memperbaikinya.

Apakah gunanya penubuhan PSC serta 8 tuntutan Bersih sekiranya kerajaan gagal mengotakan janjinya. Sekiranya ia berlaku, tidak ada keperluan untuk berbincang dan berdialog antara Bersih dengan kerajaan kerana kerajaan jelas tidak menghormati suara rakyat. Oleh itu, DPPM bersetuju langkah untuk ‘mengajar’ kerajaan yang bongkak adalah jalan raya kerana itu sahaja pengajaran yang boleh mereka pelajari.

DPPM mengesyorkan kepada Bersih supaya membuat suatu ‘dateline’ atau tarikh akhir kepada kerajaan agar memenuhi semua syarat dan tuntutan yang dikemukakan oleh PSC termasuk Bersih. Ini penting untuk mengukur adakah kerajaan berjaya atau gagal memenuhi janji mereka sebelum ini dan melihat sejauh mana seriusnya kerajaan bagi memperbaharui sistem pilihanraya di negara ini.

DPPM menegaskan, pembaharuan sistem pilihanraya di Malaysia bukan suatu perkara yang boleh dipandang kecil. Ia adalah suatu perkara besar kerana melibatkan integriti negara di mata dunia. Lebih dari itu, ia adalah suatu kebenaran dan keadilan terhadap sistem pilihanraya di Malaysia. Rakyat mahukan pemerintah yang diangkat di negara ini adalah daripada sistem demokrasi yang tulen dan bersih, hasil daripada pilihanraya yang adil dan telus. Rakyat tidak mahu tertipu buat kesekian kalinya pemerintah yang memimpin negara ini menang pilihanraya dengan penuh penipuan dan penyelewengan.

RIDUAN MOHD NOR

Ketua Penerangan

Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: