Kesemua tahanan termasuk Adam Adli yang ditangkap awal pagi tadi dalam satu perhimpunan yang berlangsung di depan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dibebaskan, pada kira-kira jam 4 petang tadi. Malah, Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS), Muhammad Safwan Anang yang dikejarkan ke hospital kerana kecederaan yang parah, kini semakin pulih, menurut sumber.
Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Razab mengesahkan kepada MerdekaReview, bahawa 17 orang tahanan termasuk Adam Adli dan rakan-rakannya telah dibebaskan dari IPD Slim River tadi.
Menurutnya, kira-kira 300 orang berada di luar balai polis berhimpun menuntut pembebasan tahanan siswa/i. Malah, sesetengah warga Facebook telah menyeru agar rakyat menelefon ke Balai Polis untuk mendesak agar tahanan dibebaskan mereka, sejak pagi tadi.
Menurut Syukri, mereka tidak didakwa di bawah apa-apa akta, bagaimanapun, tahanan dikehendaki melaporkan diri di Mahkamah Majistret Tanjung Malim pada 20 Januari 2012. Beliau menambah, dirinya berasa gembira kerana solidariti siswa/i yang membebaskan mereka.
Menurut sumber dari laman We Are All Safwan Anang, yang ditubuhkan pagi tadi, Muhammad Safwan Anang yang dikejar ke hospital lantaran kecederaan parah kini semakin pulih keadaannya.
MPMUM kutuk tindakan polis
Di samping itu, dalam satu kenyataan tadi, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) yang menggunakan kekerasan terhadap para mahasiswa yang mengadakan perhimpunan secara aman di depan Universiti Pendidikan Sultan Idris malam tadi.
Sekumpulan mahasiswa mengadakan perhimpunan secara aman di depan UPSI malam tadi untuk menuntut pihak UPSI supaya menggugurkan kes Adam Adli yang menghadapi tindakan disiplin serta menyeru kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang mengekang kebebasan akademik pensyarah dan mahasiswa.
Awal pagi tadi, kira-kira 100 mahasiswa yang mengadakan perhimpunan secara aman di hadapan UPSI telah dibelasah dan dipukul sehingga menyebabkan beberapa mahasiswa cedera parah. Dalam insiden ini juga berlakunya satu kemalangan yang tidak diingini yakni Pengerusi BEBAS, Muhammad Safwan Anang Taib telah ditumbuk dan patah rusuknya dan keadaan beliau masih kurang stabil kini.
Sehingga kini, 17 mahasiswa telah ditangkap dalam pergelutan itu termasuk aktivis yang menurunkan bendera Najib, Adam Adli. Antara mahasiswa yang telah ditangkap polis ialah Timbalan Presiden PMIUM, Amir Nabil, Haziq Abdullah (Presiden KAMI), Syukri Razab (Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia), Shukri Kamaruddin, dan beberapa mahasiswa Universiti Malaya, UniSEL serta kampus sekitar Lembah Klang.
MPMUM menyatakan rasa kesal terhadap tragedi berdarah yang berlaku kerana sekumpulan mahasiswa yang berhimpun secara aman tidak mengakibatkan sebarang kesusahan dan kegugatan kepada orang awam ataupun polis dan MPMUM tidak bersetuju dengan tindakan polis dan FRU yang menggunakan kekasaran melampau terhadap para mahasiswa yang tidak memegang sebarang senjata.
MPMUM menuntut agar pihak polis tidak mengamalkan sikap "double standard" dalam menguruskan insiden sedemikian kerana pihak polis langsung tidak mengadakan sebarang sekatan terhadap tindakan Pro-Aspirasi yang mengadakan perhimpunan awam di Putrajaya baru-baru ini. MPMUM berharap agar pihak polis memainkan peranannya untuk melindungi keselamatan rakyat jelata dan tidak menjadi alat kerajaan untuk mengekang kebebasan mahasiswa dan menindas mahasiswa dengan zalim.
Sesungguhnya tindakan mahasiswa yang menuntut supaya AUKU dimansuhkan ataupun berhimpun secara aman merupakan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun begitu, tindakan polis dan FRU yang menzalimi mahasiswa malam tadi telah menjadikan janji Perdana Menteri, Najib yang ingin memberikan ruang yang lebih besar kepada mahasiswa sebagai komestik politik.
MPMUM menyeru pihak kerajaan memansuhkanAUKU yang mengekang kebebasan mahasiswa supaya prinsip demokrasi kampus dapat dihidupkan semula.
Baca: Apabila pelajar menggenggam hak politiknya
Baca: Demo siswa berdarah membuka tirai tahun 2012
*Lu Wei Hoong ialah wartawan khas MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan