Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah menjalankan pemodelan linear dengan 1% margin simpanan (reserve margin) air di Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya). Margin simpanan bermaksud kapasiti tambahan perawatan air yang sedia ada berbanding dengan permintaan semasa. Margin ini akan memastikan loji perawatan air dapat memenuhi peningkatan permintaan air yang mendadak atau kekurangan bekalan air yang tidak dapat dijangka.
Kajian kami merumuskan bahawa tahun 2014 adalah "calon terpilih" untuk krisis air di Selangor, jika permintaan air meningkat di antara 2.0 % hingga 2.5 %. Walau bagaimanapun, jika permintaan tahunan meningkat lebih daripada nilai ini, krisis air boleh berlaku lebih awal. Tambahan pula, purata peningkatan perawatan air tahunan di antara tahun 2007 dan 2010 adalah 2.14%. (Sila rujuk kepada Jadual 1 dan 2 untuk maklumat lanjut.)
Tahun | Jumlah Pengeluaran (MLD)* | Peningkatan dan Pengeluaran (%)** |
2010 | 4063 | 3.49 |
2009 | 3926 | 0.95 |
2008 | 3889 | 1.97 |
2007 | 3814 | - |
Jadual 1 Peningkatan Pengeluaran Air Terawat di Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya)
(MLD = Juta Liter Sehari)
*Sumber: Malaysia Water Industry Guide2011
** dikira oleh AWER
Anggaran Peningkatan Permintaan Tahunan (%) | Anggaran Tahun Krisis Air Berlaku |
0.50 | 2026 |
1.00 | 2018 |
1.50 | 2016 |
2.00 | 2014 |
2.14 | 2014 |
2.50 | 2014 |
3.00 | 2013 |
Jadual 2 Keputusan daripada Kajian Permintaan Linear oleh AWER
Input (Pengeluaran 2010): 4063 MLD
Had (Kapasiti Pengeluaran yang bolehdibekal): 4431 MLD
Scenario terburuk dengan 1 % marginsimpanan: 4387 MLD
Jika dibandingkan dengan industri elektrik, margin simpanan yang lebih tinggi adalah penunjuk yang baik untuk industri perkhidmatan air. Margin simpanan yang rendah akan menyebabkan kekurangan bekalan jika berlakunya musim kemarau atau masalah air mentah di luar jangkaan berlaku dan boleh menyebabkan krisis air.
Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor dan Loji Perawatan Langat 2 mesti dilaksanakan. Tahun lalu, kami juga telah meminta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk melakukan pemodelan terperinci kepada zon-zon yang terjejas di Lembah Klang jika berlakunya krisis air. Statistik semasa yang digunakan oleh semua pihak adalah berdasarkan nilai purata dan mungkin tidak dapat mencerminkan keadaan sebenar dalam zon tertentu yang berpenduduk padat. Pemodelan permintaan di setiap zon bekalan dan situasi kes terburuk mesti dikaji. Ini akan memberi petunjuk yang jelas tentang tahap kritikal krisis air.
Contoh masalah jaminan bekalan air dapat dilihat semasa Loji Semenyih ditutup disebabkan oleh pencemaran air mentah. Apabila bekalan disambung semula, ia terpaksa menampung permintaan harian, tangki simpanan, takungan perkhidmatan (service resevoirs) dan kebocoran dalam sistem bekalan air sekali gus. Ia akan mengambil masa di antara tiga hari hingga seminggu untuk menstabilkan keseluruhan sistem bekalan air sepenuhnya. Situasi yang sama juga dapat dilihat di Pulau Pinang semasa penyelenggaraan loji mereka pada lewat tahun 2010. Ini adalah petunjuk yang jelas tentang ketiadaan jaminan bekalan air dan krisis air akan berlaku bila-bila masa.
Situasi semasa diburukkan lagi dengan kelewatan dalam penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor. Penstrukturan semula telah "berhibernasi" sejak tahun 2008. Kedua-dua kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan perlu bekerjasama untuk memastikan syarikat konsesi air dikawalselia dan dilesenkan sepenuhnya di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) untuk kesejahteraan rakyat. Kita hanya boleh mendapat industri perkhidmatan air yang lebih baik melalui model WSIA.
Kerajaan negeri Selangor juga telah mencadangkan untuk membina lebih banyak loji pengekstrakan air bawah tanah untuk menampung defisit dalam bekalan air mentah. Ini juga bermakna bahawa mereka mengakui bahawa terdapat risiko krisis air. Apabila kos pembinaan banyak loji-loji perawatan air bawah tanah berskala kecil dibandingkan dengan pembinaan loji perawatan air Langat 2, Langat 2 pasti lebih kos efektif serta boleh diharapkan (reliable). Pengekstrakan air bawah tanah juga mendatangkan banyak kesan-kesan kepada alam sekitar seperti penenggelaman tanah, retakan hidraulik, penurunan aras air tanah, ketidakstabilan ekosistem, dan sebagainya.
Tambahan pula, penyelesaian menggunakan air bawah tanah mungkin tidak akan berfungsi semasa krisis air. Sebagai contoh, semasa krisis air di Labuan, penyelesaian air bawah tanah telah dilaksanakan dan malangnya ia telah gagal. Trend yang serupa juga dapat dikesan semasa kemarau yang teruk berlaku di Kelantan. Sebenarnya hujan diperlukan untuk mengisi semula air bawah tanah dan ianya digelar sebagai proses aliran masuk (recharge) dalam bidang kejuruteraan. Ini adalah asas kitaran air dalam iklim hutan hujan tropika.
Dalam perselisihan tanpa pangkal hujung ini, AWER meminta kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk mengetepikan perbezaan mereka dan berusaha ke arah mencegah krisis air ini. Jika ada krisis, siapa akan mengambil wang dari poket mereka SENDIRI dan membayar pampasan kepada rakyat dan perniagaan? Pastinya tiada siapa yang akan berbuat demikian. Kelewatan dalam pembinaan loji perawatan Langat 2 hanya akan meningkatkan kos pembinaan dan akhirnya kos kelewatan ini akan disalurkan terus kepada tarif. Ini adalah tidak adil kepada rakyat dan perniaga.
Sebagai penyelesaian jangka panjang, kita memerlukan "Grid Air" (sama seperti dengan grid elektrik) untuk menangani krisis air. Grid Air memerlukan industri air yang berkemampuan, profesional, cekap dan berkesan untuk menguruskannya. Tetapi untuk langkah serta merta, AWER ingin menasihati kedua-dua KeTTHA dan Kerajaan Selangor untuk membenarkan pembinaan loji perawatan Langat 2 dilaksanakan secara telus dan mencegah krisis air di Lembah Klang dengan menggunakan model WSIA. Mesti pastikan tiada sebarang perjanjian konsesi lagi.
Berhenti mempolitikkan air, ia adalah menjijikkan. AIR ADALAH KEHIDUPAN!
*Kenyataan media oleh Piarapakaran S (gambar kanan) selaku Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan