KUALA LUMPUR — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus mempertikaikan dakwaan sesetengah pihak termasuk pendirian berterusan Pakatan Rakyat sambil menegaskan, sistem pilihan raya negara ini adalah adil dan bebas.
Dalam tulisan disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, “kita tanya mereka apa yang tidak bebas dan peringkat mana yang mereka kata tidak adil?”
“Pihak-pihak tertentu mendakwa pilihan raya di negara ini tidak bebas dan tidak adil. Mereka yang berkenaan telah menang dalam pertandingan merebut kerusi-kerusi baik di Dewan Rakyat atau pun di Dewan Undangan Negeri,” kata beliau.
Wan Ahmad juga berkata pihak terbabit mendakwa pilihan raya tidak adil berasaskan beberapa andaian dan persepsi dan sebagainya yang mereka tidak pernah dapat membuktikannya di mahkamah melalui petisyen-petisyen pilihan raya sama ada selepas pilihan raya umum ataupun pilihan raya kecil.
Baru-baru ini Pakatan Rakyat meminta sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan kewujudan pengundi kalangan warga asing yang diberikan status kewarganegaeraan.
Parti-parti komponen Pakatan Rakyat juga membuat laporan polis.
Semalam Pemuda PAS mendakwa SPR sudah tiada kredibiliti untuk mengendalikan pilihan raya di negara ini.
Perkembangan itu menyusuli perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang diadakan untuk mengetengahkan lapan tuntutan pilihan raya.
Dalam tulisannya, Wan Ahmad turut menyentuh soal pengundi hantu, pengundi pos dan kebebasan media.
“Mereka mendakwa ‘pengundi hantu’ yang telah mengundi dalam pilihan raya, tetapi mereka tidak pernah membuktikan siapa dan di mana pengundi hantu yang telah mengundi.
“Dalam semua petisyen pilihan raya yang difailkan di Mahkamah Tinggi sebelum ini atas alasan pengundi hantu, semua petisyen telah ditolak kerana mereka gagal memberi bukti prima facie dakwaan tersebut,” katanya.
Sambil berkata dakyah itu digunakan dalam setiap pilihan raya, Wan Ahmad menambah, golongan berkenaan pernah menahan kenderaan yang membawa pengundi dari luar kawasan yang hendak pulang mengundi kerana menuduh mereka pengundi hantu.
“Mereka enggan menerima penjelasan SPR bahawa pengundi dari luar kawasan yang balik untuk mengundi pada hari mengundi di tempat dia disahkan mendaftar adalah pengundi sah yang berhak untuk mengundi di sisi undang-undang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan