PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia untuk bertemu semula dengan Bersih 2.0 bagi membincangkan isu reformasi pilihan raya tetapi Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meminta gabungan itu supaya “tidak membuat ugutan.”
“Saya beritahu mereka jangan buat begitu (tidak dilakukan secara ugutan). Anda boleh cadangkan apa sahaja tetapi mungkin ada cadangan yang kita setuju, mungkin ada yang tidak boleh. Tapi jangan ingat kami akan setuju semuanya,” kata Aziz.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di ibu pejabat SPR selepas mengadakan pertemuan selama dua jam dengan Persatuan Hak Asasi Manusia (Proham).
Proham menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama bertemu dengan SPR selepas perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Dalam pertemuan itu Proham menyerahkan satu laporan mengenai “Hak Asasi Manusia dan Reformasi Pilihan Raya” hasil daripada forum yang dianjurkan bulan lalu.
“Anda perlu datang seperti Proham, kita mesti berbincang secara terbuka tanpa syarat; mereka (Proham) tidak mengugut saya,” katanya.
Bersih 2.0 yang terdiri daripada gabungan 62 NGO menuntut pilihan raya bersih dan adil.
Badan pemantau pilihan raya itu telah mendesak reformasi pilihan raya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang menyaksikan dua perhimpunan aman diadakan — yang pertama pada 2007, yang telah menghasilkan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008 dan yang kedua pada 9 Julai lalu, yang memperlihatkan pentadbiran Najib dikecam media antarabangsa.
Aziz berkata terdapat tiga tuntutan utama dalam pertemuan itu, namun memutuskan untuk tidak mendedahkannya.
“(SPR) sedia untuk bertemu dengan sesiapa yang mahu memberi cadangan dan pendapat untuk meningkatkan demokrasi dan sistem pilihan raya.
“Saya dengar dan akan berbincang cadangan (Proham) dengan anggota panel SPR sama ada cadangan itu boleh dijadikan undang-undang atau diterima sebagai polisi,” katanya.
Beliau berkata antara isu yang dibincangan hari ini adalah mengenai kebebasan SPR, kaedah pengundian dengan sistem biometrik dan penggunaan dakwat kekal.
Mereka juga membincangkan mengenai pendaftaran automatik dan cadangan untuk badan bebas yang boleh membantu SPR, seperti tempoh berkempen dan dalam kelemahan-kelemahan yang ada.
Aziz juga berkata pihaknya mengalu-alukan pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen mengenai pilihan raya dan beliau akan bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz, Isnin ini.
Pembentukan jawatankuasa pilihan khas Parlimen diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razal Isnin lalu.
Jawatankuasa itu akan terdiri daripada sembilan anggota iaitu lima dari Barisan Nasional (BN) termasuk menteri selaku pengerusi, tiga lagi mewakili Pakatan Rakyat dan satu Bebas.
Bersih 2.0 mencadangkan suruhanjaya diraja siasatan ditubuhkan berbanding jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk meneliti sistem pilihan raya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan