KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda PAS menegaskan negara tidak boleh menghadapi pilihan raya umum ke-13 dengan berhakimkan kepimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia ada atas alasan agensi tersebut sudah cacat dari segi kepercayaan dan keyakinan awam.
PAS bersama komponen Pakatan Rakyat melancarkan serangan bertubi-tubi sejak kebelakangan ini mempersoalkan kewibawaan sistem pilihan raya termasuk panel anggota SPR didakwa tidak memperlihatkan sikap berkecuali, sebaliknya memihak kepada parti pemerintah pusat Barisan Nasional (BN).
Mandat semasa Parlimen akan berakhir April 2013.
Sehubungan itu Ketuanya Nasrudin Hassan (gambar) berkata, pihaknya mahu SPR dirombak semula dengan menggantikan pengerusi dan timbalan pengerusi suruhanjaya itu.
Kini, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof merupakan pengerusi SPR manakala timbalannya ialah Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar.
Selain itu tegas Nasrudin, keseluruhan struktur SPR disusun semula dengan membawa penyertaan parti-parti politik.
Sambil berkata Dewan Pemuda PAS mahu agar salah satu pilihan tersebut dilakukan sebelum terlambat, Nasrudin berkata, “tiada makna lagi pilihan raya, jika pengurusnya tidak telus dan pengadilnya tidak adil.”
“Sebelum negara kita dipersenda oleh dunia antarabangsa dan rakyat seluruhnya hilang keyakinan dan kepercayaannya kepada SPR,” kata beliau pada perhimpunan Front Bertindak Anti Murtad dan Bongkar Kepincangan SPR di Kajang malam tadi.
Teks ucapan diedarkan kepada media hari ini.
Pendirian itu diketengahkan ketika fokus semasa bertumpu ke atas jawatankuasa pilihan khas Parlimen, yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak Isnin lalu.
Nasrudin berkata, penubuhan jawatankuasa pilihan nkhas Parlimen untuk reformasi pilihan raya sehingga kini masih kabur fungsinya.
Katanya, tanpa penglibatan semua termasuk parti politik yang bertanding, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemantau bebas dalam jawatankuasa pilihan khas Parlimen untuk reformasi pilihan raya, ia akan terus terdedah kepada keraguan terhadap tahap keberkesanan panel khas itu.
Sungguhpun begitu katanya, Pemuda PAS mesti sentiasa bersedia untuk menghadapi apa jua bentuk makar dari pihak lawan dan sayugianya mengambil apa jua langkah berkesan untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang.
“Kekuatan asas pemuda PAS menghadapi pilihan raya sebagaimana yang telah digariskan oleh pihak Jabatan Pilihan Raya Pemuda mesti dimiliki bagi memastikan peluang memenangi pilihan raya sentiasa besar dan tinggi di samping kita terus berjuang menuntut pengendalian sistem pilihan raya yang adil dan telus,” katanya lagi.
Nasrudin juga berkata, tugas utama Pemuda PAS mesti diselesaikan mengikut ‘dateline’ yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pilihan Raya Pemuda.
“Jangan lengah dan tangguh kerja sehingga akhirnya semua perkara menjadi tunggakkan yang membebankan di saat akhir kita menghadapi pilihan raya.
“Perkara ini boleh dirujuk kepada manual tindakan atau manual operasi gerak kerja pilihan raya Pemuda yang akan dipimpin dan dipantau oleh Jabatan Pilihan Raya Pemuda,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan