Ahli PKR yang juga seorang pemimpin pertubuhan wanita, Low See Mee hari ini terpilih sebagai ketua kampung Pandamaran yang baru, dengan meraih hampir separuh daripada 2,657 undi.
Low (kanan dalam gambar) mengalahkan pesaing terdekatnya, Tee Boon Hock dengan majoriti 241 undi. Low mendapat 1,076 undi manakala Tee memperolehi 835 undi.
Penyandangnya, Hock Siew Yap pula mendapat 172 undi, manakala pekerja sosial Yap Kim Huat (127 undi), Tee Kim Huat (205 undi) dan Tan Yu Thiam (217 undi).
Pegawai pengurus pemilihan tersebut, Bakhtiar Hussin mengumumkan keputusan tersebut pada jam 6 petang di Kompleks Sukan Pandamaran.
Jumlah pengundi keluar pengundi hanya 19.1 peratus di kampung yang mempunyai 13,896 pengundi yang layak.
Bakhtiar mengaitkan peratusan yang rendah itu dengan cuaca buruk dan sambutan festival hantu lapar selama sebulan.
Kemenangan Low itu menandakan kemasukan PKR ke dalam kubu kuat DAP selepas skandal surat sokongan bekas ahli ahli Majlis perbandaran Klang, Tee, tahun lalu.
Sementara itu, pemilihan tersebut telah menimbulkan tandatanya terhadap senarai pemilihan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila dua calonnya didapati tidak layak untuk mengundi.
Pagi ini, pegawai pengurus mengisytiharkan Yap dan Tee, tidak layak untuk mengundi kerana nama mereka tidak terdapat dalam daftar pemilih.
Ini menimbulkan persoalan bagaimana mereka berjaya melepasi peringkat pencalonan Ahad lalu, sedangkan syarat yang ditetapkan kerajaan negeri Selangor ialah hanya penduduk dengan alamat kad pengenalan (IC) di kampung berkenaan, atau mereka yang telah tinggal di kampung itu sekurang-kurangnya dua tahun, layak untuk bertanding.
Yap dan Tee berkata ianya berlaku ekoran senarai pemilih yang diambil dari pangkalan data SPR.
Tee berkata adalah ganjil dia tidak boleh mengundi sedangkan abangnya dan saudara perempuannya, yang mempunyai alamat yang sama dalam IC mereka, boleh berbuat demikian.
Anggota DAP itu berkata dia telah menetap di situ sejak lebih 47 tahun lalu dan telah mengundi dalam pilihan raya Umum 2008 tanpa sebarang masalah.
"Sudah tentu saya akan membuat aduan mengenai perkara ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan