SINAR HARIAN
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa mana-mana pihak yang sangsi dengan daftar pemilih melaporkan kepada badan itu supaya tindakan segera dapat diambil.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, kerjasama amat diperlukan untuk mengenal pasti dan membersihkan daftar tersebut.
“Saya tahu ramai yang berminat (bersihkan daftar pemilih). Jika ada maklumat maklumkan kepada kami supaya ia dapat dikenal pasti. Kenapa tidak kita membersihkannya bersama-sama?.
“Jangan terus hebahkan dalam blog dan akhbar hanya disebabkan satu atau dua kes dan memperbesarkannya sekali gus mendakwa tiga perempat daftar pemilih SPR itu kotor,” katanya.
Katanya, adalah tidak adil untuk menghukum SPR dengan sewenang-wenangnya sedangkan perkara yang dinyatakan masih belum dibuktikan sahih.
“Ini dapat dilihat dalam laporan Sinar Harian kelmarin yang membuktikan dua kad pengenalan itu dimiliki individu berbeza.
“Sama macam kes Mismah, kerana mustahil untuk seseorang memperoleh warganegara dalam masa empat jam,” katanya.
Kelmarin, Sinar Harian mendedahkan individu mempunyai nama sama adalah dua yang berbeza dan masing-masing berasal dari tempat berlainan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan