Ahad, 14 Ogos 2011

Kesilapan boleh berlaku: SPR


SINAR HARIAN ONLINE




PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengakui kesilapan boleh berlaku dalam daftar pemilih namun pembersihan dilakukan setiap hari bagi memastikan ia layak diguna pakai pada bila-bila masa diperlukan.

“Kita ada lebih kurang 12.3 juta nama dalam daftar pemilih, sudah tentu ada yang tersilap. Di mana-mana pun di dunia ini ada masalah yang sama, tiada (negara) yang daftar pemilihnya sempurna,” kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar).

Menurutnya, SPR sentiasa membuat semakan menggunakan Sistem Perkongsian Maklumat Antara Agensi (ALIS) untuk mengemas kini daftar pemilih dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“SPR bersihkan daftar pemilih setiap hari, ada yang meninggal dunia, ada lucut warganegara, ada yang nama bertindan dan sebagainya. Jika ada keraguan, kita akan semak dengan JPN,” katanya.

Abdul Aziz berkata, ALIS adalah sistem hanya boleh diakses oleh SPR dan JPN serta berperanan untuk menentukan siapa layak menjadi pengundi.

Dalam pada itu, Abdul Aziz menegaskan, tiada PR layak didaftarkan sebagai pengundi sebagaimana dakwaan pembangkang.

Menurutnya, perkara itu jika berlaku mungkin, disebabkan kesilapan teknikal semasa proses pendataan di JPN.

“Apabila SPR buat semakan dengan sistem ALIS, kita dapati permaustatin tetap yang didakwa pembangkang adalah warganegara yang sah,” katanya.

Abdul Aziz menjelaskan, kerja membersihkan daftar pemilih mengambil masa lama kerana perlu memastikan individu tersebut adalah orang yang tepat.

Selain itu, katanya, SPR turut memotong senarai nama pengundi berumur 90 tahun ke atas yang kesemuanya seramai 12,000 orang jika mereka didapati tidak lagi aktif.

“Kita putuskan hari ini, pengundi berumur 90 tahun ke atas akan dipotong, JPN akan beritahu sama ada pengundi itu aktif atau tidak.

“Tapi kalau masa mengundi mereka datang, kita akan betulkan semula. Soal tidak aktif boleh berlaku macam-macam cara dan ini berhubung dengan JPN,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pemadaman nama itu bukan muktamad ataupun individu terbabit dianggap tidak lagi layak mengundi.

“Jika ada sesiapa berusia lebih 90 tahun mendapati namanya dipadamkan oleh SPR, mereka boleh hubungi atau datang ke SPR dan JPN untuk aktifkan semula namanya sebagai pemilih,” katanya.

Tiada ulasan: