Sabtu, 20 Ogos 2011

Kes simbah asid: Polis temu bual semula Rafie

THE MALAYSIAN INSIDER

Mohd Rafie Abdul Latiff bersama anggota keluarganya ketika ditemui di HKL semalam.
KUALA LUMPUR — Polis sedang mengumpul maklumat terperinci termasuk menemu bual semula mangsa simbah asid di Jalan Raja Laut di sini awal bulan ini, Mohd Rafie Abdul Latiff, 27.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata polis juga akan meneliti semula laluan mangsa sehingga ke tempat kejadian bagi mengesan kemungkinan terdapat saksi-saksi yang boleh membantu siasatan kes itu.

“Polis juga masih menunggu hasil analisis forensik mengenai jenis asid yang digunakan oleh suspek sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa. Sehingga kini pihak polis masih belum membuat sebarang tangkapan berhubung kejadian ini,” katanya dalam laman sosial Facebook dipetik Bernama Online.

Mangsa yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya disimbah pada 8 Ogos lepas oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya semasa sedang berada di dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut.

Lelaki yang tidak dikenali itu telah membuka pintu kereta mangsa dan menyimbah mangsa dengan asid yang menyebabkan kulit muka mangsa melecur, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta bersama dua lagi lelaki.

Sehubungan itu, Mohmad Salleh berkata kerjasama peniaga-peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan asid diperlukan bagi membantu menyalurkan maklumat sekiranya mereka ada mengesan penjualan asid terhadap lelaki berumur antara 25 ke 30 tahun dalam tempoh sebelum 8 Ogos.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya tidak berhasrat untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai larangan penjualan asid walaupun terdapat beberapa kes kebelakangan ini membabitkan penggunaan cecair itu sebagai senjata dalam melakukan kegiatan jenayah.

Khalid berkata ia sukar untuk dilaksanakan kerana asid merupakan cecair yang digunakan oleh orang ramai untuk pelbagai perkara.

“Mustahil untuk kita larang (penjualan) kerana benda tu (asid) digunakan tiap-tiap hari ... macam cili api yang pernah digunakan penjenayah untuk menyamun waktu dahulu takkan nak larang penjualan serbuk cili,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Balik Kampung sempena Aidilfitri anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di pusat beli-belah Sunway Pyramid.

Katanya polis akan mengenakan tindakan berganda kepada penyimbah asid di bawah ordinan kerana mencederakan orang dan akan disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 326 Kanun yang sama.

Ketika ditanya mengenai jumlah laporan berhubung simbahan asid, beliau memberitahu di Lembah Klang terdapat lebih 20 laporan namun cecair itu bukan asid tetapi bahan pencuci lantai yang telah dicampur dengan bahan lain.

Ditanya adakah kes simbah asid merupakan trend jenayah masa kini, beliau berkata perkara tersebut tidak benar kerana sejak dahulu sudah wujud kegiatan jenayah menggunakan asid sebagai senjata.

Tiada ulasan: