Ahad, 21 Ogos 2011

GLC, bank jangan takut beri pinjaman, kata Rozali Ismail



Syarikat milik kerajaan dan bank diminta supaya tidak takut memberi pinjaman kepada orang Melayu yang ingin menjalankan perniagaan supaya mereka tidak ketinggalan dalam bidang ekonomi.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Puncak Niaga Holdings Berhad, Tan Sri Rozali Ismail berkata, setakat ini, belum ada GLC atau mana-mana syarikat perbankan yang ditutup atau bankrap selepas memberi pinjaman kepada orang Melayu.

“Saya tak akan percaya kalau GLC ditutup sebab tolong orang Melayu, begitu juga dengan bank. Orang Melayu pinjam tak banyak, RM50,000, RM100,000 untuk memulakan perniagaan. Jadi, kalau ada bank kata jika peniaga Melayu pinjam, ia akan tutup, itu tidak benar dan tidak akan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel pada pembentangan kertas kerja sempena Konvensyen Memperkasa Model Baru Ekonomi: Satu Jihad Ekonomi Bumiputera di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.

Rozali berkata, masih ramai peniaga kecil dan sederhana Melayu perlu diberi perhatian dan dibantu oleh kerajaan, oleh itu adalah menjadi peranan GLC membantu golongan itu agar tidak ketinggalan dalam bidang ekonomi.

“Penguasaan ekonomi orang Melayu masih belum membanggakan. Sebagai kaum majoriti di negara ini, kita (orang Melayu) seharusnya menguasai ekonomi lebih daripada kaum lain,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, GLC perlu memainkan peranan untuk memberi bantuan dan tunjuk ajar dengan melaksanakan program bagi meningkatkan kemampuan usahawan Melayu.

Seorang lagi ahli panel, Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Md. Alayuddin Che Hasan berkata, bantuan akan dapat disalurkan kepada orang Melayu secara berterusan jika semua GLC membayar zakat.

“Membayar zakat akan memberi manfaat untuk orang Islam. Jika ini dapat dilaksanakan, hasilnya dijangka berbilion ringgit.

"Pelajar Melayu juga tidak lagi ketinggalan untuk belajar dan boleh diberi biasiswa hasil kutipan zakat yang dibayar oleh semua GLC,” katanya.

Beliau berkata, GLC juga perlu mewujudkan satu prosedur dalam pemberian tender bagi memastikan syarikat Melayu mendapat peluang yang sewajarnya.- Utusan

Tiada ulasan: