Selasa, 2 Ogos 2011

Bukan pengundi hantu saja, sempadan p'raya juga

Khairil Abdul Rahim


TEMERLOH: PAS Pahang berpendapat jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak komited mahu lakukan transformasi pilihan raya, ia bukan setakat menangani isu pengundi hantu.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal, berkata bahkan juga mesti menentukan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan secara benar mengikut geografi dan demografi sesuatu parlimen.

“Sebagai contoh persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada tahun 2003 menyaksikan Parlimen Pekan merangkumi sebahagian daerah Kuantan iaitu memasukkan Kem Tentera Batu 9 dan Batu 10.

“Perubahan persempadanan tersebut amat tidak munasabah daripada segi geografi dan demografinya. Tetapi hasilnya Najib sendiri yang hanya menang tipis 241 undi pada PRU 1999, menang besar pada PRU 2004,” ujarnya.

Tambahnya, jika proses persempadanan semula yang dilakukan setiap 8 tahun sekali itu tidak diberi perhatian, tafsiran ramai akan tetap mengatakan SPR boleh dipergunakan untuk kepentingan parti pemerintah.

“Sebab itu negeri-negeri yang dikuasai PAS dan kawasan majoriti besar berpengundi Melayu tidak mendapat tambahan kerusi parlimen,” ujarnya.

Roslan berkata demikian sebagai mengulas laporan media hari ini yang memetik Najib komited menangani isu pengundi hantu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) antara aspek ditekankan pembangkang selama ini.

Menurutnya, sistem biometrik juga akan diperkenalkan akan menjadi kaedah terbaik mengatasi perkara itu yang sentiasa dibangkitkan pembangkang.

Berikutan itu, Najib berkata, pentadbirannya juga mahu memastikan agar transformasi pilihan raya dilakukan SPR.

Beliau mengulas desakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) yang dipengerusikan Datuk S Ambiga agar SPR menggunakan dakwat kekal bagi menangani isu pengundi hantu pada PRU-13.

Roslan berkata, Najib dan SPR juga mesti komited untuk mendaftarkan pengundi secara automatik apabila cukup syarat seseorang warganegara supaya nama pengundi tidak dimanupulasi.

“Kita mendakwa mempunyai sistem mykad tercanggih di dunia, jadi mengapa tak boleh daftar warganegara sebagai pengundi secara automatik?

“Kita cadang ia dilaksanakan, cuma pameran untuk semakan dan bantahan setiap suku tahun itu dikekalkan bagi check and balance,” katanya.

Tiada ulasan: