Abdul Aziz Mustafa
|
KUALA LUMPUR : Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan novelis terkenal, Azizi Abdullah sebagai pejuang yang setia dengan ilmunya. "Sebaik sahaja diberitahu Azizi akhirnya kembali ke pangkuan kekasihnya, Allah s.w.t., saya benar-benar terasa bahawa Islam hari ini kehilangan seorang lagi pejuangnya. "Aktiviti sosial dan politik Azizi sangat konsisten dengan ilmunya sebagai seorang yang pernah menjadi guru Pendidikan Islam. "Dia sangat setia kepada ilmunya," kata beliau. Bukan sekadar itu sahaja, kata Mahfuz, penulisan Azizi jelas menggarap isu-isu rakyat bawahan serta penderitaan mereka dan nasib mustadh'afin atau golongan tetindas yang menjadi isu utama perjuangan Islam. "Azizi juga banyak memberikan sumbangan yang tak ternilai kepada PAS termasuk sumbangan tenaga dan pemikiran malah menjadi salah seorang calon PAS di Kedah dalam pilihan raya umum 1999 lalu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu. Azizi meninggal dunia pukul 7.50 pagi semalam setelah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang sejak 11 Ogos lepas. Azizi, 69, dimasukkan ke hospital berkenaan pada Mac lalu dan menjalani pembedahan jantung April. Namun, keadaan Allahyarham tidak stabil akibat komplikasi serangan kuman, kencing manis dan masalah buah pinggang. Azizi terkenal dengan novel "Seorang Tua di Kaki Gunung" ketika naskah itu dijadikan teks wajib sastera Tingkatan Lima kira-kira 20 tahun lepas. Jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya di Taman Bersatu, Kulim, Kedah dan dikebumikan selepas zohor semalam. Allahyarham bertugas sebagai Editor Utusan Pengguna terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) setelah bersara sebagai guru dan terus aktif berkarya menghasilkan novel serta kritikan politik berunsur satira. |
Selasa, 23 Ogos 2011
Azizi setia berjuang dengan ilmunya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan