Selasa, 21 Jun 2011

SKMM, Cybersecurity diberi kuasa lebih luas tangani serangan siber

THE MALAYSIAN INSIDER

SINGAPURA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Cyberscurity perlu diberi kuasa lebih luas daripada segi perundangan bagi membolehkan entiti berkenaan mengambil tindakan lebih tegas dan pantas terhadap kegiatan penggodaman laman-laman web, kata Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan berkata, prasarana yang wujud ketika ini tidak mencukupi bagi membolehkan tindakan tegas dan pantas diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab terhadap kegiatan penggodaman.

“Susulan untuk menentukan siapa yang menggodam adalah soal yang berat, SKMM atau Cybersecurity perlu diberikan kuasa untuk menyusul siapa yang menggodam dan jikalau mereka di dalam Malaysia, tindakan yang perlu diambil atau yang boleh diambil,” katanya dipetik Bernama Online.

Beliau berkata kegiatan penggodaman laman-laman web berkait rapat dengan isu undang-undang dan jika soal perundangan itu tidak ditangani, maka segala langkah untuk menangani aktiviti penggodaman itu hanyalah bersifat sementara.

“Undang-undang kita (Malaysia) ada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, cuma mekanisme perlu disusul lagi. Kalau kita mahu penyusulan yang pantas, maka alatnya mesti ada dan orang mesti dilatih dan kemungkinan-kemungkinan lain.

“Insya-Allah, di dalam tempoh terdekat kita rancang untuk menanganinya (penggodaman) dengan cepat,” kata beliau.

Kata Rais, Malaysia yang berhadapan dengan serangan pengodam dengan kira-kira 200 laman webnya telah diserang, telah mengemukakan bahan-bahan baru tentang bagaimana kerajaan dapat mempertahankan hak mereka daripada serangan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Pandangan Malaysia itu, kata Rais, telah mendapat perhatian daripada peserta-peserta forum dengan beberapa penyelidikan baru akan dilaksanakan ke arah itu.

Rais berkata, forum tersebut yang turut dihadiri oleh wakil daripada lebih 50 negara merupakan peluang bagi komuniti antarabangsa mencari jalan dan kerjasama bagi mewujudkan integriti menangani jenayah siber.

Tiada ulasan: