Isnin, 27 Jun 2011

PSM : Dakwaan Hidupkan Fahaman Komunis, Alasan Putrajaya Guna ISA

Ditulis oleh Naeem Raffi



KUALA LUMPUR : Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyifatkan tohmahan semberono yang dilemparkan kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) bahawa parti itu kini sedang giat menghidupkan fahaman komunis hanyalah alasan semata-mata untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setiausaha Agungnya S. Arutchelvan berkata, usaha polis untuk membawa alasan komunis zaman Perang Dingin merupakan tindakan terdesak Umno-BN untuk terus kekal berkuasa dengan menakut-nakutkan orang ramai dan menjustifikasikan tindakan menggunakan ISA.

Tegasnya, beliau juga mendesak kerajaan membebaskan kesemua aktivis yang direman selama tujuh hari kerana beranggapan dakwaan polis terhadap PSM jelas satu usaha merekayasa musuh bayangan.

"PSM percaya dan yakin bahawa tuduhan keatas parti hanyalah tindakan terancang pihak polis untuk merekayasa musuh bayangan dengan niat mewujudkan satu suasana darurat untuk membolehkan penahanan besar-besaran bagi mengagalkan perhimpunan Bersih 2.0 yang telah mendapat sokongan yang begitu memberangsangkan dari rakyat," katanya dalam satu sidang media di lobi Parlimen bagi mengulas usaha terkini kerajaan mengulangi taktik lama menjerat rakyat untuk dikenakan ISA, di sini, hari ini.

Ujarnya lagi, PSM turut mengecam penahanan aktivis PSM kelmarin sambil mendakwa ia usaha awal sebelum membawa kepada penahanan lebih ramai orang menjelang Himpunan Bersih 2.0 bulan depan.

Tambah Aruthcelvan, PSM turut mendakwa tohmahan yang dilemparkan kepada parti itu merupakan pembohongan terbesar kerajaan dan jelas tidak berasas.

"Melabelkan komunis ini adalah satu agenda yang basi yang sering kali digunakan dahulu untuk mengaitkan sesiapa yang mereka sasar, dan kami adalah mangsa terkini, dan isu ini sengaja dikaitkan sempena perhimpunan Bersih dan kita diperkudakan dalam isu ini."

Semalam, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata siasatan polis mendapati sekumpulan aktivis PSM yang ditahan di Plaza Tol Sungai Dua petang kelmarin cuba menghidupkan semula fahaman komunis.

Beliau berkata, ini berdasarkan pelbagai barangan yang dirampas polis daripada aktivis berkenaan mempunyai kaitan dengan fahaman Parti Komunis Malaya (PKM).

“Antaranya risalah dan kemeja-T yang tertulis nama Chin Peng, Rashid Maidin dan Suriani Abdullah, semua mereka ini mempunyai kaitan dengan PKM,” katanya.

Polis juga memohon perintah reman mengikut Seksyen 122, Kanun Keseksaan kerana berniat untuk memerangi Yang di-Pertuan Agong.

Mereka akan ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam.

Mengulas lanjut perkara tersebut Aruthcelvan berkata, insiden yang melibatkan aktivis PSM itu tidak akan mematahkan semangat mereka untuk terus berjuang bagi membela serta mempertahankan hak rakyat yang semakin dihakis kerajaan pemerintah.

"Tindakan terkini polis terhadap PSM tidak akan menghalang PSM dari terus berjuang mempertahankan hak rakyat Malaysia," tegasnya lagi.

Tiada ulasan: