Ahad, 26 Jun 2011

Misi Gaza: Grup Malaysia pergi tanpa MP Pakatan, tidak hirau amaran Amerika


KUALA LUMPUR – Rombongan Malaysia yang menyertai Flotilla Kemanusiaan Antarabangsa II ke Gaza, selama seminggu bermula minggu depan, akan meneruskan programnya meskipun tidak disertai wakil Pakatan Rakyat, malah Amerika Syarikat beri amaran agar tidak mengadakan misi seumpama itu.

Semalam, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (gambar) membuat keputusan muktamad menarik diri daripada pasukan Malaysia misi ke Gaza kali ini atas alasan ia telah dicemari oleh politik BN dan penganjurnya.

“Saya dah buat keputusan untuk tarik diri. Misi Gaza telah dicemari politiking oleh (Datuk Seri) Najib (Razak) dan penganjurnya. Saya dimaklumkan NGO yang tinggal pun hanya NGO yang pro-BN iaitu Aman Malaysia dan Ihsan (Pekida). Muslimcare, Yayasan Amal semua dah tarik diri.

“Selebihnya saya akan kemas kini blog selepas kembali dari Mekah ke Jazan,” kata Khalid semalam.

Ketua Misi LL4G, Dr Noorazman Mohd Samsudin ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini berkata, “kami akan meneruskan misi kami sebagaimana telah dijadualkan, esok.”

Sambil mempertahankan bahawa misi kali ini tidak dipengaruhi atau dimonopoli oleh Umno-BN, Dr Noorazman berkata, pihaknya hendak menaiki kapal misi kemanusiaan atas solidariti rakyat Malaysia tetapi “nampaknya ia tidak tercapai kali ini.”

“Apa yang dikatakan (dimonopoli) tidak betul sepenuhnya,” kata Dr Noorazman lagi sambil menambah, pihaknya tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai keputusan wakil rakyat itu mahu menarik diri daripada menyertai misi kali ini.

“Dia (Khalid) tidak beritahu (kami) secara rasmi, cuma dengar dari jauh,” katanya.

Menurut Dr Noorazman, kali terakhir Khalid, wakil Pakatan Rakyat, menghubunginya adalah pada Isnin lalu untuk bertanya tentang butiran perjalanan.

“Kami berharap Pakatan Rakyat juga ada wakil untuk menunjukkan solidariti dalam misi ini, tetapi beliau menarik diri... itu hak dia (jika mahu menarik diri),” tambah beliau.

Tempat Khalid akan digantikan oleh orang lain tetapi bukan wakil rakyat, kata Noorazman sambil menambah, “jika hendak digantikan dengan ahli Parlimen sangat sukar pada saat-saat akhir.”

Pengganti itu juga bukan wakil Pakatan Rakyat.

Mengulas lanjut semalam, Khalid juga berkata, beliau langsung tidak tahu-menahu mengenai 10 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi ini akan berlepas ke Athens esok.

“Saya tidak menerima sebarang maklumat daripada penganjur berkenaan perkara terbaru ini. Kali terakhir saya menelefon penganjur pada 20 Jun lepas tetapi tiada kata putus berkenaan sukarelawan yang akan terlibat.

“Ini yang buat saya lebih yakin ada agenda lain... bukan untuk menolong rakyat Palestin di Gaza tetapi bermotifkan politik semata-mata,” ujarnya lagi.

Dr Noorazman pula menjawab pihaknya sangat berharap Khalid akan menyertai misi kemanusiaan kali ini tetapi tiada respons sehinggalah “kami membaca laporan The Malaysian Insider.”

“Tiada respons (daripada Khalid), sepatutnya tidak ada kepincangan dalam perpaduan rakyat dalam hal ini, sebab parti-parti politik, kita ada wakil dia, oleh kerana tiada respons, kami anggap beliau tarik diri,” katanya.

Khalid akan kembali ke tanah air Selasa ini.

Flotilla kali ini bukan hanya disertai sukarelawan negara Islam, malah dari Amerika Syarikat, Eropah dan negara Barat, termasuk mereka yang bukan beragama Islam.

Semalam, media asing juga melaporkan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton menegaskan pihaknya menentang rancangan aktivis pro-Palestin termasuk 10 orang dari Malaysia yang mahu mengadakan misi kemanusiaan kedua ke Gaza minggu depan sambil menyifatkan ia satu tindakan yang hanya akan memprovokasi Israel.

“Kami tidak percaya misi kemanusiaan ini perlu atau satu usaha yang berguna dalam membantu penduduk Gaza,” kata beliau di Washington.

Pada 31 Mei 2010, komando Israel membunuh sembilan aktivis Turki termasuk seorang rakyat Amerika Syarikat, yang menaiki kapal Turki misi kemanusiaan ke Gaza.

Menjawab perkembangan itu, Dr Noorazman berkata pihaknya sedar tentang perkara tersebut termasuk pelbagai tekanan yang dikenakan sejak baru-baru ini.

Justeru katanya, rancangan pihaknya tidak mengalami sebarang perubahan setakat ini.

“Ya, kami sedar. Memang ada tekanan, dikenakan peraturan baru dan yang ketat termasuk ke atas kapal-kapal yang hendak digunakan. Tekanan dikenakan di Greek dan di negara-negara Eropah yang lain.

“Pun begitu, setakat ini tiada perubahan dalam perjalanan kami,” katanya lagi.

Tiada ulasan: