Ahad, 26 Jun 2011

Utusan terus kecam Ambiga, dakwa Bersih boleh cabar Perlembagaan

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Media-media milik Umno terus menyerang ketua Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan sambil menyifatkan himpunan mereka 9 Julai ini jika berjaya akan “membuka jalan” kepada tindakan mencabar Perlembagaan Persekutuan kelak.

Dalam ruangan edisi Mingguan Malaysia, terbitan Kumpulan Utusan hari ini, Awang Selamat berkata pihaknya melihat perhimpunan itu mahu membuka pintu kemudian hari bagi mencabar Perlembagaan.

“Jika perhimpunan itu berjaya, akan menyusul perhimpunan lain menuntut banyak perkara lagi,” tulis Awang Selamat.

Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 diketuai Ambiga (gambar) dengan ahli-ahli jawatankuasanya terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Andrew Khoo, K Arumugam, Dr Farouk Musa, Haris Ibrahim, Liau Kok Fah, Maria Chin Abdullah, Richard Y W Yeoh, Dr Toh Kin Woon, Dr Wong Chin Huat, Datuk Yeo Yang Poh, Zaid Kamaruddin, Subramaniam Pillay dan Arul Prakkash.

Malah, Awang Selamat juga berkata, “kepada kebimbangan akan berlaku pertempuran di antara penyokong perhimpunan haram Bersih dan kumpulan yang menentangnya, itulah risiko terbesar.”

Awang Selamat juga mendakwa peserta perhimpunan yang majoriti Melayu akan bertempur dengan kumpulan penentang, yang juga ramai Melayu.

Sebaliknya akhbar itu mendakwa ada pihak seperti pemimpin DAP akan bersorak dalam hati.

“Umat Islam dan Melayu bukan sahaja berpecah belah malah diperbodohkan.

“Jika pertempuran berlaku, ia akan lebih buruk daripada pertentangan dua kumpulan rakyat di Bangkok tidak lama dulu. Apatah lagi memang ada pihak ketiga yang mahu menangguk di air keroh dan menanti rusuhan besar di Kuala Lumpur,” kata Awang Selamat.

Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas.

“Masa berlembut dan asyik memberi amaran sudah berlalu. Kita tiada pilihan,” katanya.

Akhbar itu berkata sebanyak 1,248 aduan polis dibuat bagi membantah Himpunan Bersih 2.0.

Awang Selamat juga mendakwa motif Ambiga juga boleh dibaca dan ia ternyata bertujuan politik dengan bertopengkan desakan menuntut pilihan raya bersih.

“Beliau juga dilihat oleh beberapa pihak sebagai seorang yang anti-Islam dalam beberapa isu, yang terserah kepada pembaca untuk nilaikan sendiri. Apakah Ambiga mahu bertanggungjawab jika berlaku kekacauan dan ibu negara bermandi darah? Selain agenda tersirat untuk menggugat ketenteraman,” katanya.

Akhbar itu juga menyiarkan laporan muka depan hari ini di bawah tajuk “Siapa sebenarnya Ambiga?”.

Laporan itu memetik sumber Bernama berkata, rakyat Malaysia, terutama orang Melayu diminta meneliti siapa sebenarnya Ambiga sebelum mengikut telunjuknya yang meminta rakyat supaya mengadakan “perhimpunan haram pada 9 Julai ini.”

Laporan itu memetik penganalisis politik berpendapat orang Melayu harus melihat kembali sejarah tindak-tanduk Ambiga yang pernah menimbulkan kemarahan umat Islam, terutama orang Melayu di negara ini sebelum secara membuta tuli mengikut kehendak dan telunjuknya.

Penganalisis politik bebas dari Universiti Teknologi Mara Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam berkata, sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan Perlembagaan.

“Ambiga tahu sekiranya penganjuran sesuatu perhimpunan tidak mendapat permit polis, maka perhimpunan itu tidak boleh dilakukan. Kita tidak faham kenapa dia tetap juga mahu meneruskan perhimpunan haram itu, walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak,” katanya.

Pemerhati politik dari Universiti Perguruan Sultan Idris Prof Datuk Dr Zainal Kling pula menyifatkan semua golongan yang terbabit dalam penganjuran perhimpunan haram itu adalah tidak layak dan tidak patut menjadi pemimpin, termasuk Ambiga.

Katanya, mereka terlampau mengikut parti politik tertentu yang memperjuangkan ideologi politik masing-masing sedangkan mereka sendiri pun tidak “bersih”.

“Mereka sebenarnya lebih baik melakukan tunjuk perasaan sebagai parti politik dan bukan sebagai NGO.

“Jadi orang akan faham maksud dan matlamat mereka (pemimpin politik), terutama orang awam mengenai kacau bilau dalam parti masing-masing seperti PKR yang tidak bersih, DAP yang selalu bermaharajalela atau autokratik dan PAS yang tidak mengikut atau sudah lari daripada perjuangan asal mereka,” katanya.

Tiada ulasan: