Isnin, 27 Jun 2011

Bersih 2.0: Sasterawan Negara Samad Said juga dipanggil polis

THE MALAYSIAN INSIDER



Penyokong-penyokong Bersih bersorak sewaktu Ambiga (kiri) membuat ucapannya semalam di Kuala Lumpur. — Foto Jack Ooi
KUALA LUMPUR — Sasterawan Negara Datuk A Samad Said turut dipanggil polis untuk diambil percakapan berhubung Himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan 9 Julai ini.

The Malaysian Insider difahamkan polis mahu bertemu dengan beliau berhubung ucapannya pada majlis pelancaran Himpunan Bersih 2.0 di ibu negara pada 19 Jun lalu.

Pada majlis tersebut beliau antara lain menyampaikan ucapan dan puisi berjudul “Unggun Bersih”.

Dalam akaun Twitternya lewat malam tadi juga dihantar mesej merujuk kepada puisinya itu dan blognya di bawah alamat “Hujan Pagi http://samadsaid.wordpress.com/2011/06/26/unggun-bersih/”.

Ia seterusnya membawa pengunjung kepada teks ucapan ringkas beliau.

Beberapa pengunjung laman mikro Twitter juga mengulas mengenai perkara tersebut malam tadi.

Peguam dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR Latheefa Koya dalam mesej menerusi akaun Twitternya berkata, Samad dan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan akan disoal siasat oleh polis hari ini.

Mereka dijangka akan hadir di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi di sini, petang ini.

Minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata polis tidak akan memberi permit bagi Himpunan Bersih 2.0 dan dua perhimpunan balas yang akan diadakan pada hari yang sama, anjuran Perkasa dan Pemuda Umno.

“Sasterawan Negara Malaysia berusia 76 tahun, A Samad Said dan pemenang terbaru anugerah International Women of Courage Ambiga akan disoal siasat oleh polis (berkaitan Bersih 2.0) esok (hari ini),” kata beliau dalam mesej Twitternya.

Naib Presiden PKR N Surendran pula mengemukakan persoalan mengapa Sasterawan Negara itu perlu dipanggil polis.

“Apa salah Pak Samad Said, diheret ke balai polis esok (hari ini)? Kerana membaca puisi di majlis Bersih!,” kata beliau dalam mesej Twitternya.

Berdasarkan teks ucapan yang diperoleh dari blog Samad, beliau antara lain menyentuh bahawa “murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini.”

“Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan,” kata beliau.

Beliau seterusnya berkata, “kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi?”

“Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?

“Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni,” kata Samad lagi.

Tiada ulasan: