KUALA LUMPUR: Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) meminta kerajaan menjelaskan mengenai isteri tentera yang hilang kelayakan sebagai pengundi awam. Sedangkan katanya, mengikut seksyen 2 (b), isteri tentera diberi pilihan untuk mengundi awam dan tidak semestinya mengundi pos. "Tapi apa yang kita dapati daripada maklumat kajian kita, ada beberapa pihak khususnya isteri tentera hilang undi awam. "Walaupun layak mengundi awam tapi nama mereka diletakkan dalam senarai undi pos," katanya sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapannya bagaimanapun menafikan dakwaan itu sebaliknya berkata adalah logik isteri tentera didaftarkan sebagai pengundi pos kerana perlu mengikut suami yang bertugas. "Kita semua tahu pada pilihan raya 1999 dan juga 2008 undi pos ini banyak berpihak kepada pembangkang juga. Jadi mengatakan undi pos dimanipulasikan itu adalah tidak benar. “Kalau bercakap tentang isteri tentera sudah sememangnya logik mereka didaftarkan sebagai pengundi tidak hadir kerana pada hari pengundian itu mereka bersama suami mereka di kem-kem yang ditetapkan. “Cuba bayangkan kalau isteri memilih untuk menjadi pengundi awam mereka terpaksa pulang ke kampung,” katanya. Selain itu Mujahid turut mempersoal mengenai tentera yang mempunyai dua kad pengenalan yang membolehkan mereka mengundi secara biasa dan secara pos. “Bagaimanakah tentang tentera yang mempunyai dua kad pengenalan iaitu kad tentera dan kad pengenalan awam dan nama undi pos dan undi awam. “Saya minta penjelasan daripada menteri supaya undi pos ini benar-benar mencapai maksudnya bukan undi yang dimanipulasikan,” katanya yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat. Nazri sekali lagi menafikan perkara itu dengan berkata kemungkinan nama bekas tentera itu tidak dipotong dalam senarai pengundi awam. “Ini mungkin berlaku kepada bekas tentera kerana kalau dia sudah bersara dia akan didaftarkan sebagai pengundi awam dan kemungkinan rekod masih menunjukkan nama mereka ada di pengundi pos,” katanya. Mujahid dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan statistik pengundi tentera yang bersara bertukar status kepada pengundi awam. Sementara itu, Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) meminta menteri menyatakan jumlah pertambahan tentera setiap tahun bagi mengetahui jumlah tentera baru dan yang telah bersara supaya jumlah undi pos yang wujud diketahui. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan