Rabu, 15 Jun 2011

SB siasat sebelum dilantik jadi Senator

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Setiap wakil NGO yang dicadangkan untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) akan disiasat di beberapa peringkat termasuk daripada polis cawangan khas (SB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, siasatan ini bagi memastikan mereka bebas daripada mana-mana 'kumpulan pengganas' seperti Jemaah Islam (JI).

"Pencalonan yang diterima sudah tentu daripada persatuan atau NGO tertentu dan seseorang itu mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.

"Cuma dari segi kesesuaian, kerajaan akan membuat siasatan termasuk special branch check takut mereka dari JI dan sebagainya.Ini juga perlu. Apabila dapat senarai nama siasatan akan dibuat atas kesesuaian seseorang itu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menambah senator daripada setiap negeri.

Ini katanya, bagi memastikan proses semak imbang di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berjalan lancar.

"Bagaimanakah kerajaan nak pastikan wakil NGO yang tak berparti mewakili kuasa ketiga sebagai NGO.

"Jika dilihat yang dilantik sebagai senator semuanya ada kepentingan politik. Senator yang dicadangkan kerajaan jauh lebih banyak daripada senator yang dilantik kerajaan negeri yang sekarang ini dua orang setiap negeri.

"Ini menjejaskan check and balance Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri," katanya.

Nazri dalam jawapannya berkata, adalah mustahil perkara itu dapat dilaksanakan kerana melibatkan pindaan perlembagaan.

"Kalau nak tambah lebih daripada dua senator setiap negeri, kerajaan boleh bincang cuma saya tidak fikir ini boleh dilaksanakan kerana ini memerlukan pindaan perlembagaan yang mana kerajaan tak dapat dua per tiga," katanya.

Nasharudin dalam soalan asalanya meminta Perdana Menteri menyatakan adakah pihak kerajaan bercadang melantik wakil-wakil NGO yang tidak berpihak kepada mana-mana parti politik sebagai Ahli Dewan Negara.

Tiada ulasan: