Rabu, 15 Jun 2011

Peserta Bersih 2.0 bawa duit, peniaga untung

Nazri Abdullah


KUALA LUMPUR: Peniaga, penjaja dan pemandu teksi sepatutnya menyokong, bukan menyaman penganjur himpunan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai ini.

Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, ia kerana pihak penganjur iaitu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) akan membawa lebih 800 ribu pelanggan kepada mereka.

"Kami nak bawa pelanggan. PAS sahaja 300 ribu orang. Sepatutnya peniaga sokong bila orang ramai nak datang.

"Mereka yang datang sini bawa duit bukan datang tangan kosong," katanya kepada Harakahdaily.

PAS, katanya seperti usul diluluskan pada Muktamar ke 57 lalu, akan mengerahkan 300 ribu dari ahlinya yang kini mencecah lebih 1 juta orang.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan semalam 'meracuni' penjaja, peniaga dan pemandu teksi agar menyaman penganjur himpunan Bersih bagi menuntut ganti rugi berikutan pendapatan mereka yang mungkin terjejas semasa perhimpunan berkenaan.

Mengulas lanjut, Firdaus yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat berkata, himpunan aman Bersih 2.0 tidak akan menjejaskan perniagaan mereka melainkan diprovokasi oleh pihak polis sehingga menimbulkan kekecohan.

"Kalau polis tembak gas, kami kena lari la, bila lari bertembung tahu-tahu sahajalah.

"Cuba polis jaga dan kawal elok-elok, sudah tentu semuanya akan untung malah berlipat kali ganda," tambahnya lagi.

"Semua tiket bas dari utara dan timur, Air Asia penuh, FireFly habis, jadi apa petandanya tu?" soalnya.

Sehubungan itu katanya, Umno khususnya perlu menerima himpunan Bersih akan datang demi kebaikan mereka apabila menjadi pembangkang selepas PRU ke-13 nanti.

"Kalau mereka (Umno) dah jadi pembangkang nanti, mereka tak perlu buat demo lagi untuk mereformasikan pilihan raya untuk menang semula sebab kita dah buat," tegasnya sinis.

Tiada ulasan: