Isnin, 20 Jun 2011

Himpunan Bersih 2.0 tetap terus, sudah pelawa semua parti politik

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) Datuk Ambiga Sreenevasan menegaskan himpunan anjurannya bukan untuk kepentingan mana-mana parti politik sebaliknya untuk rakyat di negara ini.

Katanya, Bersih 2.0 yang dipimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang komited mempertahan demokrasi, mempelawa semua parti politik untuk bersama berjuang bagi mewujudkan sistem pilihan raya yang lebih adil dan telus.

Ia termasuk menjemput komponen Barisan Nasional, Bebas dan Pakatan Rakyat- menyertai Perhimpunan besar-besaran yang bakal dianjurkan pada 9 Julai ini- untuk membawa lapan tuntutan Bersih kepada yang Di Pertuan Agung.

Namun, beliau kecewa kerana hanya Pakatan Rakyat dan beberapa parti pembangkang sahaja yang bersedia menerima pelawaan tersebut.

“Menariknya, hanya komponen Pakatan Rakyat dan parti pembangkang lain yang bersetuju untuk turut serta dalam himpunan yang bakal diadakan pada 9 Julai depan,” katanya semasa pelancaran Bersih 2.0 yang diadakan di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur semalam.

Turut hadir menyatakan sokongan pada pelancaran itu termasuk wakil KEADILAN, Pas dan Dap, beberapa parti pembangkang lain, aktivis rakyat, seniman, wakil 50 NGO serta tetamu kehormat, sasterawan negara Datuk A. Samad Said.

Sasterawan rakyat itu- yang turut membacakan sajak ringkas- ketika ucapannya menekankan bahawa pelancaran Bersih merupakan titik permulaan penting kepada demokrasi.

“Himpunan pada malam ini adalah detik awal ke arah kejayaan BERSIH pada 9 Julai depan,” katanya yang disambut tepukan gemuruh ratusan hadirin yang memenuhi dewan berkenaan.

Setiap wakil NGO yang hadir turut diberi peluang bagi menyatakan sokongan penuh kepada himpunan BERSIH. Manakala wakil parti yang hadir diberi ruang berucap selama tiga minit.

Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar yang berucap mewakili parti itu menyentuh pentingnya pilihanraya dalam negara ini dilaksanakan secara telus, bebas dan adil sebagaimana yang disaksikannya dalam pilihanraya Turki baru-baru ini.

“Semasa di Turki, saya diiringi skuad Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Polis. Apa yang memeranjatkan, di kawasan pilihanraya yang diklasifikasikan paling bergolak, FRU dan Polis tidak menggangu demonstran, malah mereka memberi kerjasama baik dengan mengawal keadaan,” katanya yang merupakan salah seorang anggota delegasi yang diberi kepercayaan memantau pilihanraya umum Turki baru-baru ini.

Apa yang penting kata putri reformasi itu, mesej utama yang perlu disampaikan kepada rakyat adalah prinsip kebebasan, melangkaui segala-galanya.

Manakala Penolong Setiausaha Agung PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, Pas sudah mengerahkan kira-kira 100,000 ahlinya untuk turut serta dalam himpunan tersebut.

“Hanya dengan kuasa rakyat kita mampu menyedut udara kebebasan dan dengan hanya kuasa rakyat dengan izin Allah yang mampu menumbangkan rejim Umno BN,” katanya.

Wakil Dap, Teresa Kok pula menyelar tindakan kerajaan Umno BN yang sehingga kini gagal menerima lapan tuntutan BERSIH demi meningkatkan tahap demokrasi di Malaysia.

Lapan tuntutan itu ialah pembersihan daftar pemilih, mereformasi undi Pos, penggunaan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minima 21 hari, memperkukuhkan institusi awam, menghentikan rasuah dan politik kotor.

Majlis yang berlangsung selama dua jam itu dimulakan dengan mendedahkan kepincangan dan bukti amalan rasuah BN pada pilihanraya Sarawak lalu- diakhiri dengan paluan gendang bersama sepanduk yang tertera lapan tuntutan BERSIH.

Tiada ulasan: