KUALA LUMPUR : Perhimpunan Bersih 2.0 akan menjadi platform utama kepada suara rakyat dalam mengukur sejauhmana komitmen kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam mengamalkan sistem demokrasi, kata Setiausaha Kebangsaan DAP, Teresa Kok.
Malah katanya, sebarang tindakan provokasi daripada mana-mana pihak yang cuba menghalang himpunan besar-besaran itu hanya akan menghantar mesej buruk kepada sistem pentadbiran kerajaan terutama Polis Di Raja Malaysia (PDRM).
"Saya mahu beri peringatan kepada Barisan Nasional (BN) jika ada mana-mana penyokong yang tertangkap, maka kita akan hantar mesej kepada dunia bahawa BN memang mahu pilihan raya yang kotor," ujarnya.
Beliau yang hadir ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi bersempena pelancaran Perhimpunan Bersih 2.0 menyatakan sokongan penuh terhadap program anjuran gabungan NGO seluruh negara termasuk wakil SAPP dari Sarawak.
Teresa yang hadir bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menunjukkan sokongan positif seraya menyeru seluruh rakyat turun untuk menyertai perhimpunan itu nanti.
Perhimpunan Bersih kali pertama diadakan pada 2007 berjaya mengumpulkan lebih 100 ribu rakyat tempatan mengadakan perarakan secara aman.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut sama menyatakan sokongan padunya kepada himpunan besar-besaran itu nanti menegaskan bahawa segala dakwaan yang dilemparkan kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau individu utama dalam perancangan menanam kebencian terhadap BN menerusi Bersih 2.0 adalah dusta sama sekali.
"Walaupun dakwaan Datuk Seri Anwar adalah dalang, saya mahu tekankan ini semua dusta," kata Nurul Izzah.
Beliau sebaliknya menjulang Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan yang berjaya mengumpul kekuatan suara rakyat seluruh negara dalam menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.
Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai nanti akan bermula di tiga lokasi sekitar ibu negara Kuala Lumpur iaitu, pusat membeli belah Sogo, perkarangan Masjid Kampung Baru dan di hadapan DBKL jam 2 petang.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dimaklumkan akan turut serta dalam perhimpunan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan