Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: PAS melahirkan rasa bimbang terhadap sistem keselamatan siber negara ekoran sekurang-kurangnya 10 laman web kerajaan digodam oleh mereka yang tidak bertanggungjawab awal pagi tadi. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) ketika diminta mengulas perkara itu berkata ianya satu perkara serius dan menunjukkan Malaysia belum bersedia mendepani Cyber War. "Apa jaminan kepada sistem keselamatan negara kita? "Sistem perbankan, sistem ketenteraan, semua berada dalam keadaan berisiko. "Saya pernah sebut dalam perbahasan Dewan Rakyat sebelum ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. Sejak awal pagi tadi, sekurang-kurangnya 10 laman web kerajaan dan agensinya tidak dapat dilayari kerana diserang oleh penggodam yang membalas tindakan sekatan ke atas beberapa laman sesawang perkongsian fail. Bermula jam 3.30 pagi tadi penggodam yang menamakan kumpulan mereka sebagai Anonymous, menyenaraikan 18 laman web kerajaan yang didakwa telah diserang oleh DDoS (Distributed Denial-of-Service) ataupun dipadamkan sementara oleh pentadbirnya. Ianya termasuk portal rasmi kerajaan Malaysia MyGovernment (www.malaysia.gov.my), masih tidak dapat dilayari. "Dengan apa yang berlaku ini membuktikan kita tidak ada kesediaan dari segi keselamatan siber. "Kita cukup nipis untuk ditembusi oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab", katanya. Dalam kenyataan di web yang ditukar oleh pengodam itu, mereka mendakwa tindakan itu dibuat ekoran Kerajaan Malaysia menyekat laman seperti The Pirate Bay dan WikiLeaks. Malaysia menurut mereka adalah antara kerajaan di dunia ini yang paling ketat mengenakan tapisan, hingga sanggup menghalang akses kepada filem dan rancangan televisyen. Tambahnya lagi, serangan itu sebagai tanda dan amaran serta peluang bagi mendengar idea pihak lain. Penggodam juga berkata mereka mempunyai tanggungjawab bertindak pantas dan tanpa belas kasihan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan menyebut sekurang-kurangnya 51 laman web diserang dan 41 berjaya digodam. |
Khamis, 16 Jun 2011
Apa jaminan sistem keselamatan negara kita
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan