Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata mahkamah membenarkan 135 Muslim meninggalkan Islam antara 2000 hingga 2010.
Beliau berkata, seramai 686 Muslim telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah di seluruh negara untuk meninggalkan Islam sepanjang satu dekad itu, bagaimanapun tiada butiran lanjut diberikan kecuali pecahan mengikut negeri.
Sabah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 237 membuat permohonan dengan 67 dibenarkan oleh mahkamah dan disusuli Negeri Sembilan (172, 33 diluluskan), Wilayah Persekutuan (56, 10) dan Pulau Pinang (36, 1).
Sarawak dan Terengganu merekodkan kes murtad terendah dengan masing-masing satu manakala tiada kes langsung di Kelantan.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Raja Ahmad Al-Hiss berkata, jumlah yang diumumkan Jamil Khir itu disifatkan beliau sebagai “isu besar” kepada negara dalam usaha memelihara akidat umat Islam.
Justeru beliau berkata, pihaknya meletakkan kesalahan itu pada bahu Jamil Khir yang gagal membendung perkara itu daripada berlaku.
“Bagi kami, jumlah sebanyak 135 orang yang diluluskan untuk keluar Islam amat menyedihkan bagi negara yang diperintah oleh pemimpin kerajaan beragama Islam.
“Kami meletakkan kelemahan dan kegagalan ini isu murtad ini pada Datuk Seri Jamil Khir sebagai orang yang bertanggungjawab sepenuhnya. Di manakah agensi kerajaan yang sepatutnya memainkan peranan mereka dalam menerangkan kebaikan Islam di dalam negara? Adakah elemen politik terlalu banyak yang dimainkan oleh agensi yang berkaitan sehingga terlupa peranan sebenar mereka?” katanya dalam satu kenyataan.
Jamil Khir dilantik menjadi menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam pada 9 April 2009.
Tegas Raja Ahmad, badan penguat kuasa agama seolah-olah tidak berfungsi ekoran pendedahan dibuat Jamil Khir itu.
“Apakah fungsi yang dimainkan oleh Jabatan Kemajuan Islam, Jabatan Agama Islam negeri serta Pusat Ekonomi dan Kewangan Islam seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Pusat Pungutan Zakat dalam krisis akidah ini? Sehinggakan kerajaan dilihat masih gagal menjamin akidah umat Islam dalam negara kita.
“Bagi kami walaupun jumlah permohon yang diberikan oleh kerajaan hanya itu, tetapi kami optimis jumlah sebenarnya adalah jauh lebih besar yang tidak dinyatakan,” katanya.
Justeru beliau berharap agar Putrajaya dapat membendung masalah akidah umat Islam yang dilihat semakin tergugat itu.
“Sudah tentu orang-orang yang di luar daripada kita yang terjejas akidah mereka tanpa penerangan dan pembelaan agar terus memelihara akidah mereka hingga akhirnya.
“Kami melahirkan rasa kesal, hampa dan terkilan dengan komitmen kerajaan dalam memastikan akidah umat Islam terus dipelihara dan mendesak agar satu tindakan tegas diambil bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang lagi di masa hadapan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan