Ahad, 19 Jun 2011

Ahli AMK Diseru Meriahkan BERSIH 2.0

TVS NEWS




SHAH ALAM : Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin menyeru semua anak muda untuk turut sama hadir ke Perhimpunan BERSIH 2.0 bagi menyatakan sokongan dalam usaha menuntut sistem pilihanraya yang adil dan telus di negara ini.

Perhimpunan Bersih 2.0 bakal berlangsung pada 9 Julai depan dijangka akan disertai banyak pihak dari seluruh negara.

Setakat ini lebih 30 laporan polis telah dibuat semata- mata untuk menghalang Perhimpunan aman itu diadakan.

Beliau turut mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak mencabar rakyat yang semakin celik politik, menuntut kebebasan dan keadilan yang selama ini dinafikan UMNO BN.

“Kita beritahu kepada TPM, jangan cabar rakyat. Kita nak buat BERSIH ini untuk baiki sistem pilihanraya. Kalau sistem pilihanraya tidak boleh jatuhkan kerajaan, kita ada cara lain. Apa dia saudara-saudara? Cara jalan raya. Pilihanraya suatu sebab kalau tidak jalan (berjaya) BERSIH, cara jalan raya juga boleh jatuhkan kerajaan. Jangan cabar kita untuk guna cara jalan raya untuk jatuhkan mereka,” katanya.

Semalam Muhyiddin menyifatkan himpunan aman BERSIH 2.0 itu bertujuan untuk menumbangkan kerajaan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau semberono menuduh himpunan aman itu jalan pintas Pakatan Rakyat untuk ke Putrajaya. Walhal himpunan rakyat besar- besaran itu dianjurkan oleh badan- badan bukan kerajaan (NGO) yang bermatlamat mahu pilihan raya diadakan secara bersih dan Pakatan Rakyat hanya menyokong usaha murni itu.

Shamsul turut membidas Pemuda Umno yang mengisytiharkan mahu mengadakan perarakan bagi membalas himpunan aman BERSIH 2.0.

Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin sebelum ini menyifatkan kumpulan yang berdemo di jalanan sebagai ‘beruk’.

“Pemuda Umno nak buat demonstrasi, dulu dia panggil kita beruk jalanan. Sekarang dia pun nak jadi kepala beruk. Tapi kita tahu itu semua wayang mereka. Ini bukan pertandingan demonstrasi BERSIH lawan demonstrasi PERKASA. Tuntutan kita jelas. Kalau SPR boleh baiki sistem dan pastikan pilihanraya berjalan dengan bebas dan telus, itu sudah mencukupi untuk tuntutan BERSIH,” katanya.

Perhimpunan BERSIH 2.0 terpaksa diadakan setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan pemerintah gagal meneliti empat tuntutan BERSIH kali pertama yang diadakan pada 2007 yang lalu.

Antara empat tuntutan itu ialah penggunaan dakwat kekal, penyemakan semula daftar pemilih, pemansuhan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi lain di luar negara serta akses media yang adil kepada semua pihak.

Sempena himpunan kali kedua itu, dua lagi tuntutan ditambah yakni, bantahan penyalahgunaan institusi kerajaan dan lanjutan tempoh masa berkempen yang munasabah.

Rapat Anak Muda 13.0 Dengan tema ‘Yakin Berani Berubah’, Rapat AMK yang berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berjaya menghimpunkan 3,000 wakil AMK dari semua cabang dari Seluruh Malaysia.

Antara pimpinan PKR yang hadir adalah Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution, Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie, Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainudin (Jonah), Blogger Tukartiub, Hishamudin Rais dan Ketua Serikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail.

Majlis turut diserikan dengan ucapan daripada Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai, Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar, Hishamuddin Rais, persembahan nyanyian daripada Okes Rakyat Tertindas dan Beeha, deklamasi puisi daripada Rozan Azen Mat Rasip.

Tiada ulasan: