Suhaizan Kayat |
Buat pertama kalinya dalam sejarah pilihanraya paling sengit di Singapura dimana pembangkang memperolehi kerusi parlimen sebanyak 6 daripada 87 kerusi dan hanya Tanjong Pagar sahaja tiada pertandingan. Pembangkang memenangi kerusi GRS(group representation constituency) Aljunied dan kerusi SMC(single member constituencies) Hougag. Tahun 2006 pembangkang hanya memperolehi 2 kerusi SMC sahaja iaitu Hougang dan Potong Pasir. Undi popular parti kerajaan PAP(People’s Action Party) merosot daripada 67% pada tahun 2006 kepada 60% dalam pilihanraya umum 2011. Ini bermakna pembangkang memperolehi 40 % undi popular dalam pilihanraya 2011. Catatan sejarah dibuat oleh Parti Buruh Singapura apabila dapat mengalahkan PAP di GRC Aljunied yang mempunyai 5 kerusi parlimen di bawahnya. Singapura mempunyai dua jenis pewakilan parlimennya satu dikenali sebagai GRS(group representation constituency) yang diperkenalkan pada tahun 1988 dan keduanya dikenali sebagai SMC(single member constituencies) . Sistem GRC adalah pewakilan secara berkumpulan diantara 4 hingga 6 kerusi parlimen. Jika satu GRC dimenangi contohnya Aljunied maka 5 kerusi parlimen di bawahnya turut dimenangi secara automatik. SMC pula adalah individu yang mewakili satu parlimen. Terdapat 15 GRC dn 12 SMC di Singapura. Alasan Singapura melaksanakan GRC adalah untuk mempastikan kelompok minoriti Melayu dan India dapat masuk ke Parlimen. Biasanya satu GRC akan di wakili oleh seorang Menteri daripada PAP dan selalunya memberi kelebihan kepada parti pemerintah. Selain daripada kemenangan 6 kerusi parlimen terdapat 2 kerusi parlimen yang tipis dimenangi oleh PAP. Kerusi tersebut adalah SMC Joo Chiat dengan mejoriti kecil 382 undi dan SMC Pasir Potong 114 undi. Kekalahan wakil GRC di Aljunied daripada PAP yang juga Menteri Luar Singapura George Yeo memberi tambaran hebat kepada PAP. Walaupun 6 daripada 87 kerusi parlimen di lihat kecil bagi masyarakat diluar Singapura tetapi ia merupakan kejayaan berganda bagi pembangkang di Singapura. Isu-isu yang bermain di Singapura adalah masalah kebanjiran pekerja asing khususnya daripada tanah besar China menyebabkan rakyat Singapura terpaksa bersaing dengan mereka dalam pekerjaan, rumah, urusan harian dan lain-lain. Kos sara hidup yang sentiasa meningkat dan pemerintahan PAP yang sudah terlalu lama juga menjadi faktor kekalahan PAP di beberapa kerusi tersebut. Dengan tsunami kecil Singapura, ini bakal merubah politik di selatan Johor khususnya parlimen Johor Baharu, Pulai, Pasir Gudang, Tebrau, Kulai dan Gelang Patah. Masyarakat Cina Malaysia yang sebahagiannya bekerja di Singapura sentiasa mengikuti perubahan yang berlaku di sana. Terdapat ramai rakyat Singapura adalah saudara mara rakyat Malaysia khususnya di Johor Baharu. Mereka sentiasa berulang alik di tambak Johor mahupun second link di Gelang Patah. Sebahagian mereka mengikuti perkembangan politik Singapura secara langsung dengan menghadiri siri kempen-kempen pilihanraya Singapura. Isu kos sara hidup dan persaingan pekerja asing dengan penduduk tempatan adalah menjadi antara masalah yang turut sama di rasai rakyat Johor Baharu. Malah kesan kepada masalah pekerja asing dan kenaikkan sara hidup di Johor Baharu jauh lebih buruk daripada yang berlaku di Singapura. Perubahan yang berlaku di Singapura bakal merubah kehangatan politik selatan Johor. Daripada 6 kerusi parlimen di selatan Johor terdapat sekurang-kurangnya 2 kerusi merbahaya kepada Barisan Nasional. Parlimen Kulai dan Gelang Patah bakal berubah dalam pilihanraya umum ke-13 akan datang. Parlimen Kulai dengan komposisi 32.06 % Melayu, 58.72% Cina dan 9.22% India(data tahun 2010) ditandingi oleh DAP dalam pilihanraya 2008 mengalami kekalahan dengan mejoriti 11,744. Parlimen Gelang Patah dengan komposisi 33.36% Melayu, 54.78 % Cina dan 11.86 % India (data tahun 2010) ditandingi oleh PKR hanya kalah sebanyak 8,851 undi. Walaupun terdapat tsunami politik pada tahun 2008 tetapi ianya tidak sampai ke selatan Johor. Walaupun angka kekalahan 11,744 di Kulai dan 8,851 di Gelang Patah mungkin kelihatan besar jumlahnya oleh negeri-negeri seperti pantai timur tetapi angka tersebut sebenarnya kecil bagi selatan Johor. Ini disebabkan oleh faktor pengundi yang terlalu ramai. Pengundi Kulai ada seramai 70,731 dalam tahun 2010 dan kekalahan 11,744 adalah hanya 16.6 % daripada jumlah pengundinya. Sementara pengundi Gelang Patah adalah seramai 86,399 pada tahun 2010 dan dijangka meningkat lagi dalam PRU ke-13. Kekalahan 8,851 pada tahun 2008 adalah 10.24 % sahaja daripada pengundi Gelang Patah. Bagi kerusi Parlimen Johor Baharu, Pulai, Pasir Gudang dan Tebrau bukanlah kerusi yang selamat buat Barisan Nasional kerana Tsunami besar bakal berlaku di selatan Johor dalam pilihanraya ke-13 akan datang. Faktor Singapura dan Sarawak inilah yang membuatkan Dato Sri Mohd Najib Razak masih tidak dapat menentukan dengan jelas tarikh pilihanraya ke-13. *Penulis adalah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat merangkap Ketua Pemuda PAS Negeri Johor. |
Ahad, 8 Mei 2011
Politik Selatan Johor berubah selepas p'raya Singapura
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan