Rabu, 4 Mei 2011

Osama tak bersenjata tapi melawan, kata White House

THE MALAYSIAN INSIDER


Penyokong Jamaat-ud-Dawa melaungkan slogan anti-Amerika di Karachi, Pakistan. — Foto Reuters

WASHINGTON — Sementara pelbagai pihak mula mempertikaikan cara kematian Osama bin Laden, Amerika Syarikat (AS) mengaku bahawa ketua Al-Qaeda itu tidak bersenjata ketika rumahnya di Pakistan diserbu tetapi pengganas paling dikehendaki ini cuba melawan sebelum dia ditembak mati.

Sehari selepas pegawai-pegawai AS membekalkan maklumat bercanggah dan dalam sesetengah kes butiran palsu mengenai serbuan yang dijalankan, jurucakap White House Jay Carney memberikan lebih banyak maklumat mengenai operasi yang diadakan awal pagi kelmarin (waktu Malaysia).

Keterangan ini dikeluarkan ketika ada pihak mempersoalkan sama ada operasi ini melawan etika pembunuhan.

Dia menggunakan frasa “kabut perang” — yang disyorkan oleh seorang pemberita — sebagai sebab maklumat kurang tepat pada peringkat awal.

“Atas perintah presiden, pasukan kecil AS menyerang satu kawasan rumah yang tahap keselamatannya cukup ketat, di pinggir Islamabad, untuk menangkap Osama (sama ada) hidup atau mati,” kata Carney dengan membacakan kenyataan yang disediakan oleh Jabatan Pertahanan.

Pasukan itu menemui tiga keluarga termasuk keluarga Osama di dua bangunan berbeza di kawasan yang diserbu.

Anggota komando mendapati tiada apa-apa di satu bangunan yang dihuni satu keluarga manakala satu lagi pasukan memasuki tingkat satu rumah yang Osama tinggal, di mana satu lagi keluarga turut tinggal bersama mereka.

Di tingkat satu itu, pasukan AS membunuh dua utusan Al-Qaeda bersama seorang wanita yang terbunuh dalam tembakan, kata Carney.

Sebelum ini laporan mengatakan bahawa wanita itu dijadikan perisai oleh pengawal keselamatan Osama.

Dianne Feinstein, jurucakap jawatankuasa risikan Senat berkata, wanita itu kemungkinan merupakan isteri salah seorang utusan yang ditembak mati.

Anggota komando kemudian menemui Osama dan keluarganya di tingkat dua dan tiga rumah berkenaan.

“(Awalnya) ada pandangan bahawa kemungkinan Osama akan menentang operasi menangkap beliau, dan (nampaknya) beliau melawan,” kata Carney.

“Seorang wanita... isteri Osama, bergegas ke arah anggota pasukan AS dan dia ditembak di kaki tetapi tidak mati. Osama kemudian ditembak dan terbunuh. Dia tidak bersenjata,” katanya lagi.

Bagaimanapun Carney enggan memberikan butiran mengenai cara Osama didakwa melawan pasukan elit AS.

“Tindakan melawan tidak memerlukan senjata,” katanya sambil menambah, lebih banyak maklumat akan diberikan kemudian.

Seorang pegawai yang ada melihat gambar mayat Osama berkata, dia telah ditembak sekurang-kurangnya sekali di bahagian muka.

Dalam pada itu, Peguam Negara AS Eric Holder mempertahankan operasi di Pakistan kelmarin sebagai satu tindakan sah.

“Tindakan itu diambil secara sah, mengikut undang-undang dan sesuai dari setiap sudut. Mereka yang bertanggungjawab bagi tindakan, kedua-dua membuat keputusan dan kesan keputusan itu, telah bertindak dengan baik,” kata beliau kepada jawatankuasa kehakiman Dewan Perwakilan semalam. — Reuters

Tiada ulasan: