Sabtu, 14 Mei 2011

Nama Inggeris Tetapi Berdendam Macam Orang Tiada Pekerti

Ditulis oleh Wira Arjuna



KOMENTER : Jika manusia, umur 65 tahun seharusnya menzahirkan watak yang matang dan berfirasat tinggi. Bagaimanapun bagi sesebuah organisasi, usia itu sewajibnya memancarkan wibawa yang luhur dan mulia kerana ia dihasilkan oleh himpunan pemikiran insan dan pemimpin yang berwawasan dan berhemah.

Namun apa yang dapat ditunjukkan oleh United Malays National Organization ketika meraikan ulangtahunnya yang ke-65 minggu ini ialah keceluparan dan keserakahan.

Amat nyata nilai luhur bukan jenama parti yang sering mendabik dada memperjuangkan kepentingan Melayu dan kemuliaan agama Islam.

Betapa tidaknya, parti yang masih menjunjung katanama Inggeris bagi memuliakan satu perjuangan Melayu, kononnya, jelas didakap rasa takut dan cemas akan masa depannya. Ia seperti orang tua yang nyanyuk dan diserang penyakit Parkinson yang disergah rasa cemas kerana muflis idea bagaimana hendak terus hidup dan berkuasa.

Kecemasan ini berpaksi daripada gugatan seorang insan. Wajah, kelibat dan apatah lagi bicara insan ini benar- benar menghunjamkan rasa cemas dan ngeri. Puas disanggah kata bicaranya, disergap dengan kekerasan dan undang-undang, diejek dengan pelbagai gelaran dan nama jelek, dimaki dan dihamun, namun lembaga politik ini tidak mahu pergi.

Kemudian disebarkan pelbagai cerita dan fitnah namun insan ini masih berada diambang pemikiran United Malays National Organisation.

Maka digunakan cara yang lebih nekad lagi. Bagaimana jika diperas ugut akan maruahnya dengan video seks dan gertakan anak cucunya dianiayai?

Maka dihimpunkanlah pelbagai pendekar dan pawang siber yang handal untuk menggerunkan musuh ini dalam blog; dalam media konvensional bernama Utusan Malaysia, Berita Harian, TV1, TV2, TV3, dan media massa lain. Habis pelbagai cerita mengenai aib seorang politikus ini dihamburkan. Namujn rasa ngeri tidak mahu pergi.

Maka akhirnya di kemuncak sambutan ulangtahun United Malays National Organisation ke 65, dihimpunkan segala tohmah dan nista seteru utama ini dalam sebuah kitab 555 muka surat. Kitab kesumat United Malays National Organisation ini dijadikan cenderahati rasmi parti itu dan disebarkan kepada sekalian hadirin. Maka sahlah kecemasan, kengerian dan rasa ngilu United Malays National Organisation terhadap insan 63 tahun yang bernama Anwar bin Ibrahim.

Pandanglah dari sudut manapun, sama ada Anwar ini mahu dinobatkan sebagai seteru nombor wahid United Malays National Organisation atau saingan yang paling dihormati; parti ini memang tidak lekang daripada diulit mimpi dan mengigau setiap detik. Parti ini benar-benar perlukan kuasa sihir luar biasa untuk memadamkan rasukan Anwar Ibrahim ini.

Maka timbullah idea baru bagaimana hendak melampiaskan rasa gundah ini dari rongga hidup United Malays National Organisation. Adalah juak-juak yang juga kurang aman Anwar terus bersilat di gelanggang politik negara yang mencabar kewarasan dan naluri kasih sayang Anwar.
Bagaimana kalau anak dan cucunya dijadikan taruhan?

Jika semangat politik Anwar tidak dapat dipadamkan dengan hujah, fitnah dan tohmah, masih mampukah Anwar bertandak dalam gempita politik negara jika insan lain yang dikasihinya diancam keselamatan dan nyawa mereka?

Anak sulung Anwar yang kini menapak mengikut jejaknya , Nurul Izzah, yang juga ahli parlimen Pantai, digertak supaya memilih – teruskan langkah politik Anwar atau diputuskan talian kasih sayang dengan anak kesayangannya. Jika ini tidak menggerunkan Nurul Izzah kerana hati mudanya mungkin masih membara semangat waja, ia mungkin menggugah pendirian Anwar yang telah lama “tua” dalam arena politik negara.

United Malays National Organisation mungkin akan cuba menjarakkan diri daripada usaha jijik sebegini. Sama seperti isu video seks anjuran
Datuk T, United Malays National Organisation mungkin bersumpah-sumpah junjung segala kitab dan akhbar menafikan penglibatannya dalam ugutan terhadap Anwar dan keluarganya.

Namun semua pemerhati politik tahu, jika kerana diterjah rasa ketakutan dek ancaman dan ugutan terhadap anak dan cucunya, maka Anwar pun memilih untuk bersara dari arena siasah negara, pihak mana yang akan amat lega dan bersukaria!

Neraca keadilan, kesaksamaan dan keluhuran hidup tidak boleh diluruhkan oleh rasa benci, dengki dan irihati. Bagi parti yang bersyahadah pada hakikat tiada Tuhan melainkan Allah, United Malays National Organisation wajib tahu, keserakahan dan kesumat dendam tidak dapat memadamkan keadilan Allah s.w.t. Bagi perlakuan dengki dan fitnah, balasannya nanti di dunia dan di akhirat berganda-ganda lagi.

Pilihlah sendiri. Wajarkah seorang tua 65 tahun masih lagi bersifat bengis, berdendam dan bepekerti keji walhal kubur kian lantang membisikkan istilah saat mati mu semakin menghampiri...

Tiada ulasan: