11/05/2011
SHAH ALAM : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak akan mengadakan perjumpaan dengan beberapa pertubuhan Kristian esok berhubung dakwaan 'konspirasi Kristian' seperti yang dipaparkan pada tajuk utama Utusan Malaysia Sabtu lalu.
Akhbar berbahasa Cina hari ini melaporkan Setiausaha Majlis Gereja-gereja Malaysia (CCM) Rev Hermen Shastri memberitahu bahawa mesyuarat itu adalah usaha Pejabat Perdana Menteri dalam mencari penyelesaian berhubung kekalutan isu berkenaan.
Menurut akhbar itu lagi, mesyuarat tersebut juga akan diadakan secara tertutup.
Hermen bagaimanapun enggan mendedahkan tempat dan masa ia akan diadakan.
Katanya lagi, hanya ahli CCM tertentu sahaja akan dijemput untuk menghadiri perjumpaan tersebut dan beliau antara mereka yang bakal menyertai pertemuan itu.
Namun menurut Herman, Pejabat Perdana Menteri juga sepatutnya mengadakan perjumpaan dengan editor Utusan untuk mengetahui mengapa mereka menimbulkan isu berkenaan terlebih dahulu.
Beliau juga membidas akhbar milik Umno itu kerana membuat laporan 'palsu' itu dan bermain dengan 'api'.
Laporan Utusan Malaysia Sabtu lalu yang bertajuk “Kristian Agama Rasmi?” itu mendakwa wujudnya perbincangan untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara, sekali gus melantik perdana menteri dari kalangan penganut itu.
Akhbar itu juga mendakwa ada konspirasi mahu menjadikan Kristian sebagai agama rasmi, usaha didakwa disokong oleh pemimpin-pemimpin DAP.
Utusan Malaysia melaporkan perkara itu selepas memetik laporan sebuah blog yang menuduh DAP menghasut dengan cuba meminda undang-undang negara untuk menjadikan mereka yang beragama Kristian menjadi perdana menteri, dengan menunjukkan gambar berbintik-bintik yang didakwa mereka sebagai pakatan rahsia antara DAP dan pastor-pastor di sebuah hotel di Pulau Pinang minggu lalu.
Bagaimanapun kumpulan Kristian dan DAP menafikan dengan keras dakwaan itu sambil menyifatkan laporan Utusan Malaysia itu “pembohongan yang bahaya.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan