Momentum perjuangan Perkasa masih sama namun keutamaan yang dibawa kini adalah berkisar tentang ekonomi.
PETALING JAYA: Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Iwan Fahmi Ideris berkata aspek ekonomi bagi orang Melayu dan Bumiputera menjadi keutamaan dalam meneruskan agenda perjuangan dalam badan bukan kerajaan (NGO) itu.
Beliau yang dilantik semalam sebagai Ketua Wira menggantikan Arman Adha berkata momentum perjuangan NGO terbabit masih sama namun keutamaan yang dibawa kini adalah berkisar tentang ekonomi.
“Perkasa masih kekal sebagai NGO pendesak dengan lantang memberikan pandangan terutama yang berkait isu-isu agama, bangsa dan negara.
“Wira Perkasa mahu menumpukan isu ekonomi Melayu dan Bumiputera agar mereka mampu mencapai kuota 30 peratus seperti yang diharapkan,” katanya ketika dihubungi FMT.
Iwan Fahmi berkata, “kita masih mengekalkan momentum sama dengan lantang bersuara mahupun menjadi pendesak. Namun keutamaan bagi Wira Perkasa adalah dari segi ekonomi Melayu dan Bumiputera.
“Pemantauan dari segi pembelajaran serta kuota ke atas Melayu dan Bumiputera tercapai dengan ‘target’ 30 peratus. Setakat ini hanya 11 peratus kuota yang tercapai dan kami mahu golongan ini mendapat jaminan dari segi pencapaian ekonomi.
“Kami tetap akan protes bila merasakan Bumiputera dan Melayu ditindas termasuklah jika wujud sentimen agama. Perlembagaan tetap dipertahankan begitu juga hak peribumi,” katanya.
Jelas Iwan, beberapa rombakan turut dibuat dalam Wira dengan Ketua Penerangan Nurul Izham Anuar kini dilantik menjadi Timbalan Wira manakala Amir Atar menggantikan tempat Nurul Izham sebagai Ketua Penerangan Wira Perkasa yang baru.
Imej wanita Melayu tulen
Sementara itu, Ketua Wiranita Perkasa Datin Paduka Norkhaila Jamaluddin yang menggantikan Raihan Suleiman pula berkata aspek sosial perlu diberi penekanan.
Norkhaila berkata Wiranita sentiasa menjadi pemangkin dalam pergerakan aktiviti NGO itu dan aktiviti pertama selepas dilantik ialah program bertemu dengan ahli dari seluruh negara.
“Kita nak menaikkan imej wanita Melayu tulen…bukan setakat dari segi sosial tetapi juga akademik. Sudah menjadi keutamaan Wiranita sebagai kaum ibu untuk mainkan isu sosial terutama melibatkan anak muda, supaya faham mengenai perjuangan Perkasa.
“Ini kerana selama ini golongan muda sentiasa bersikap lewa dalam perjuangan bangsa, agama dan negara. Maka ini salah satu aspek keutamaan kami untuk pastikan golongan ini faham perjuangan Perkasa,” katanya.
Tags: Ketua Wira Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Iwan Fahmi Ideris, Ketua Wiranita Perkasa Datin Paduka Norkhaila Jamaluddin,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan