Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah berkata beliau ada menyimpan jam Omega milik suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa oleh trio 'Datuk T' hilang di dalam sebuah bilik hotel.
Menjawab soalan pemberita sama ada Anwar yang juga ketua pembangkang ada kehilangan jam itu, Wan Azizah menjawab, jam tangan itu tidak hilang, dan berada dalam simpanannya (Wan Azizah).
Abdul Rahim Sabri
“Tidak ada (kehilangan jam)... Ya, ia ada (dengan kami). Kami ada jam tangan tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar ketika menjawab soalan wartawan berhubung video seks yang dimuatkan di Internet semalam.
Seorang wartawan meminta jam tangan itu ditunjukkan kepada media, tetap soalan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Wan Azizah, keluarga dan beberapa pemimpin yang hadir dalam sidang media itu.
Bahkan terdapat di kalangan mereka mempertikaikan permintaan wartawan tersebut.
“Adakah awak serius? Mengapa kami didakwa? Adakah awak pendakwaraya?” kata anak sulung Anwar, yang juga ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.
Kemudiannya Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mencelah dengan menyifatkan permintaan wartawan tersebut sebagai sesuatu yang “menjijikkan”.
“Saya fikir soalan ini juga mencerminkan bahawa kamu betul-betul tidak menghargai keadilan," katanya.
Sebelum ini, Anwar yang juga ahli parlimen Permatang Pauh dalam satu sidang media menafikan sekeras-sekerasnya lelaki yang dikatakan dalam video tersebut adalah dirinya dan menafikan beliau kehilangan jam tersebut.
Bahkan beliau meminta wartawan bertanyakan sendiri kepada isterinya kerana beliau yang menyimpan jam tangan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan