KUCHING – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menuntut Putrajaya agar “membersihkan kotoran” dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sambil menyatakan rasa tidak puas hati ekoran satu lagi kes kematian di premis agensi itu.
Presiden PKR (gambar) itu berkata insiden terbaru hari ini amat memalukan SPRM selepas kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock dua tahun lalu.
“Ini satu tragedi yang mengejutkan dan apa yang lebih teruk ia berlaku ketika siasatan Suruhanjaya Diraja menyiasat kematian Teoh (RCI) sudah berada di pertengahan,” katanya pada sidang media di Satok di sini.
Dr Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas kematian seorang pegawai Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang dipercayai jatuh dari aras tiga pejabat SPRM di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur.
Kejadian ini berlaku ketika Suruhanjaya Diraja sedang mengadakan siasatan berhubung kematian Teoh ditemui mati selepas disiasat SPRM dua tahun lalu.
Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.
“Kami melihat ia satu perkara serius... ia akan memberi impak kepada institusi kerajaan dalam negara.
“Apa yang akan terjadi kepada institusi SPRM apabila ketika dipertengahan siasatan mereka sekali lagi berdepan insiden sama. Dan, kemudian bagaimana dengan tindakan pegawai SPRM yang memuat turun video porno ketika melakukan siasatan,” kata Dr Wan Azizah.
Beliau juga menyifatkan insiden itu sebagai “jahat”, sambil menambah ia akan menghakiskan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap agensi kerajaan itu.
“Institusi sepatutnya menjaga kita. Saya tidak rasa ini adalah perkara kecil... kita perlu lakukan sesuatu.
“SPRM perlu mengambil tindakan. Kerajaan perlu membersihkan segala kekotoran ini,” katanya.
Dr Wan Azizah juga mendakwa sikap tidak peka ketika menjalankan siasatan amat ketara dan ia sudah menjadi budaya pegawai kerajaan.
“Jika anda orang besar, anda tidak perlu risau. Tapi jika anda orang kecil mereka akan mencari anda.
“Jika anda menyampaikan ceramah dan tidak mempunyai permit, anda akan ditahan.
“Tapi jika anda dilindungi dan anda menayangkan video pornografi, anda akan dilepaskan,” katanya dengan merujuk kepada pendedahan rakaman video seks yang dikaitkan dengan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang pelacur China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan