Ahad, 3 April 2011

TVS NEWS


HULU SELANGOR : Pimpinan kerajaan perlu merancang secara teliti agar tidak menyisihkan warga Felda serta kaum Orang Asal di negara ini ke dalam arus pembangunan negara.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam ucapannya di Konvensyen Warga Felda dan Orang Asal Peringkat Kebangsaan 2011 semalam berkata, walau bagaimanapun warga Felda juga perlu berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan pihak tertentu yang hanya berminat dengan tanah milikan mereka.

" Kajian yang kita buat telah menunjukkan dalam 10 - 15 tahun yang akan datang, apabila kita sampai 2025, lebih daripada 90 peratus daripada kawasan-kawasan
tanah di negeri Selangor ini dianggap kawasan bandar.

" Oleh sebab itulah negeri Selangor perlu merancang, memikirkan bagaimana pembangunan masyarakat di Felda dan Orang Asal ini dapat dibuat supaya mereka yang mempunyai hak dan tidak ketinggalan dalam pembangunan tersebut," kata beliau.

Menurut Khalid, kerajaan Selangor telah menerima banyak aduan berkenaan tanah warga Felda di mana pemilik tanah dijanjikan bayaran tetapi sehingga kini tiada
bayaran diterima dan tanah mereka juga tidak dapat dikerjakan.

Tambah beliau, contoh ketara seperti yang berlaku di Felda Suharto dan Felda Sungai Buaya apabila terdapat puluhan warga Felda dijanjikan bayaran lumayan untuk menjual tanah mereka yang akhirnya menyebabkan penduduk berkenaan hilang sumber pendapatan.

Katanya lagi, keadaan ini bukan lagi satu perkara aneh tetapi sudah menjadi perkara biasa di kalangan warga Felda di mana pemilik tanah Felda memberikan kuasa penuh kepada pihak tertentu apabila ditabur janji-janji manis.

"Kenapa dia tanda tangan sampai serah 'seluar dan baju'? Itulah sebabnya saya pun tak tahu nak kata apa. Kalau saya marah, nanti orang akan katakan saya bersikap seperti orang korporat. Memang tak boleh ditolong, tapi satu saya ada (buat), saya rampas tanah mereka (yang digadaikan), ini yang orang mula marah pada saya," jelas beliau.

Khalid menjelaskan, perkara sebegini turut berlaku ke atas masyarakat Orang Asal yang dijanjikan rumah dan wang ringgit agar mereka meninggalkan tanah asal mereka.

Kata beliau, satu penyelesaian perlu dicari bagi memastikan keadaan sebegini dapat dielakkan dan pada masa yang sama memastikan warga Felda dan kaum Orang
Asal dapat menikmati pembangunan bersama masyarakat umum.

Katanya lagi, dilihat dari aspek pembangunan, Malaysia khususnya negeri Selangor amat bernasib baik kerana mendapat pembangunan yang rapi dengan peningkatan ekonomi masyarakat yang stabil.

"Di Petaling Jaya, kalau dulunya tanah-tanah di PJ, satu kaki persegi pada 25 tahun dahulu dengan harga RM10 sekaki, tetapi sekarang, kalau nak beli dengan harga RM10, saudara akan dapat hanya setengah inci persegi. Dan sekarang, satu kaki persegi melebihi RM250," jelas beliau.

Tiada ulasan: