Selasa, 12 April 2011

Tiada telur tiruan, jamin Jabatan Veterinar

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Jabatan Veterinar menafikan adanya telur tiruan dijual di pasaran negara berdasarkan ujian dijalankan dari sampel telur yang diambil dari pasar seluruh negara termasuk di Pulau Tikus, Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Veterinar, Datuk Dr Abd Aziz Jamaluddin (gambar) berkata, ujian itu dilakukan ekoran dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menyatakan terdapat telur tiruan di pasaran.

Menurutnya, hasil kajian dan pemeriksaan mendapati ia adalah telur yang rosak atau bergred rendah dan tidak sepatutnya dijual kepada orang ramai.

Kata beliau, bentuk yang berlainan tidak bermakna ia telur tiruan kerana ia berpunca daripada makanan dan antibiotik yang digunakan oleh penternak.

“Makmal Kesihatan Awam di Salak Tinggi, sedang menjalankan kajian terhadap telur tersebut bagi memastikan ia selamat digunakan oleh pengguna,” kata beliau di Putrajaya hari ini.

Rabu lalu, CAP mendedahkan pihaknya telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus.

Abdul Aziz berkata, bagi menghasilkan telur tiruan memerlukan kos yang tinggi ini termasuk penyelidikan, malah telur tulen di negara ini dijual begitu rendah dengan hanya 32 sen sebiji bagi gred terbaik (AA).

Beliau berkata, Malaysia tidak membenarkan pengimportan telur kecuali bagi tujuan pembiakan dan berkemungkinan telur tiruan dihasilkan di negara lain dan diimport ke negara ini.

Di negara ini terdapat 390 ladang ayam telur dengan 37.82 juta ekor ayam dan pengeluaran telur sebanyak 23.46 juta biji sehari. Sementara itu Dr Abdul Aziz berkata, kerajaan mengambil keputusan untuk mewajibkan semua pengeluar telur berdaftar dengan Jabatan Veterinar dan diberikan pensijilan untuk memastikan telur yang dihasilkan memenuhi piawaian yang ditetapkan.

Tiada ulasan: