SUNGAI BULOH : Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi terhadap individu yang membeli rumah kos rendah semata-mata untuk disewakan.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan hasrat kerajaan Selangor supaya setiap keluarga di negeri ini mampu membeli dan memiliki rumah sendiri sekali gus melarang pemilik rumah itu menyewakannya.
"Saya akan pastikan setiap pembeli rumah kos rendah mendudukinya dan melarang mereka membelinya untuk pelaburan,"katanya ketika menjawab soalan salah seorang penduduk sempena lawatan beliau ke Saujana Utama, semalam.
Menurut Khalid, kerajaan negeri juga hanya akan mengutamakan kebajikan rakyat dan akan memastikan setiap keluarga di negeri itu terutama golongan miskin mampu memiliki rumah sendiri.
"Kerajaan negeri juga melarang individu yang membeli rumah kos rendah ini disewakan kepada penyewa kerana ia akan menghalang golongan berpendapatan rendah yang lain untuk memiliki kediaman yang selesa," katanya kepada Tv Selangor.
Mengulas lanjut mengenai kelewatan kelulusan pindah milik kepada pembeli pertama Khalid berkata, ia berlaku kerana kebanyakkan pemaju gagal menyediakan rumah kos rendah pada waktu yang ditetapkan serta lebih mengutamakan projek-projek yang lebih menguntungkan.
"Oleh itu, saya meluluskan permohonan pindah milik rumah kepada pembeli pertama rumah kos rendah di sini,katanya.
Jelas Khalid, setiap pemaju yang membangunkan sesuatu kawasan perumahan perlu membina rumah kos rendah untuk dimiliki golongan kurang berkemampuan.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa mengutamakan rakyat dan melihat rumah kos rendah di kawasan itu amat bersesuaian kerana ia terletak berhampiran kawasan sekolah.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Lembaga Pembangunan dan Hartanah Selangor, Datin Paduka Alina Ahmad berkata, Glomac Berhad mempunyai tanah seluas 345.6 hektar dengan empat fasa pembinaan rumah dan turut mempunyai rumah kos rendah.
"Sebanyak 1,639 unit rumah kos rendah disediakan dan hanya 1,215 unit sahaja dipindahkan ke sebuah kawasan bersebelahan ladang ayam manakala bakinya sebanyak 424 unit sahaja.
"Status baki rumah kos rendah itu adalah di tapak rumah yang sama dan kerja-kerja pembinaan sebanyak lima peratus sedang giat dilaksanakan dengan jaminan bank sebanyak RM500,000,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan