Jumaat, 1 April 2011

SEKAT LINTAH DARAT HISAP DARAH PENIAGA


Oleh: FAIZAL OKADAU

SUDAH menjadi nasib peniaga kecil yang terpaksa menumpang dan mengharapkan belasan ehsan pemilik bangunan bagi mencari sesuap rezeki untuk meneruskan kehidupan. Persoalannya sampai bila mereka terpaksa menyuap ‘buaya buas’ di muara sungai?

Inilah keluhan dan rintihan para peniaga kecil Sabah yang rata-rata terpaksa menyewa premis perniagaan yang mahal. Malah ada peniaga terpaksa membayar sewa sehingga RM650 hingga RM1500 untuk menyewa bangunan dengan kadar keluasan 3 X 6 dan 8 X 6 kaki persegi.

Bukan sekadar itu, peniaga juga didesak untuk membayar tiga hingga lima bulan deposit untuk menyewa lot kedai tersebut; tidak termasuk kos pengubahsuaian kedai tersebut. Malah dalam masa pengubahsuaian itu juga, sewa bulanan kedai turut berjalan.

”Senario yang berlaku di bandar-bandar malah di pekan-pekan seluruh Sabah ini amat membebankan peniaga kecil yang mempunyai modal yang terhad. Kos ini belum lagi termasuk barangan yang hendak mereka niagakan,” terang Ketua Penerangan PAS Sabah, Hisyamuddin Sulaiman.

Sehubungan itu, Hisyamuddin mendesak kementerian atau jabatan yang terbabit supaya menggubal satu peraturan boleh mengawal dan menghadkan kadar sewa supaya para peniaga kecil dapat keluar daripada kesusahan ‘lintah darat’ yang terus menyedut kudrat mereka.

“Sekiranya fonemena ini dibiarkan, saya bimbang nasib peniaga kecil yang majoritinya adalah bumiputera akan terbatas keupayaan niaga mereka sehingga terpaksa memilih untuk berniaga di kaki-kaki lima bangunan atau pasar-pasar tamu yang bersifat mingguan sahaja,” jelas Hisyamuddin lagi.

Jika begini keadaan mereka, tambah Hisyamuddin, peniaga kecil yang sebahagiannya meminjam modal daripada Amanah Ikthiar dan TEKUN akan terbeban dengan hutang dan sukar untuk mereka membayar balik pinjaman mereka. Jika ini terjadi, maka sia-sialah usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan melalui program berkenaan.

Kadar sewa yang tinggi ini turut menambah jurang ekonomi antara golongan kaya dan golongan miskin. Inilah antara sebab kenapa gaji pekerja di Sabah terlalu murah jika dibandingkan dengan pendapatan yang diperolehi oleh majikan.

Selain itu, kadar sewa yang mahal juga turut menyebabkan barang jualan dinaikkan harga bagi menampung kos sewa bangunan. Pelangganlah yang selalu menjadi mangsa kepada kerakusan golongan ‘bangsatwan’.

“Tindakan tangkas ini perlu bagi membela golongan yang berpendapatan rendah. Malah, saya cukup optimis, sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat untuk mentadbir negara, perkara yang melibatkan golongan berpendapatan rendah akan diberi keutamaan oleh kita,” kata Hisyamuddin menutup bicaranya

10 ulasan:

tombolo berkata...

para peniaga juga perlukan pembelaan.

zam berkata...

harap pekara ini dapat diberikan perhatian bagi membantu golongan peniaga kecil.

Unknown berkata...

Mereka ini memerlukan tempat yang sewanya lebih murah bagi mereka menampung mata pencarian harian..

Tanpa Nama berkata...

There are legal money lenders that can lend money for small business called Microfinancing.

Tanpa Nama berkata...

http://www.aim.gov.my/~cms/index.html

Paquin berkata...

Hal ini harus dipantau dan ditanggani segera. Kesian orang yang cari makan.

Paquin berkata...

Saya yakin pasti ada cara lain untuk membantu golongan ini daripa terus terhimpit dengan desakan lintah darat.

evan medhousky berkata...

murah sangat kah sewa premis di negeri2 PR?? di Kelantan pun masih ramai penduduk miskin, tapi sewa premis masih juga mencecah ribu..

evan medhousky berkata...

jika PAS memerintah, bagaimana mereka mahu menurunkan sewa premis? kebanyakan premis bukan dikawal oleh kerajaan.. ada2 sahaja dipolitikkan oleh PAS tapi mereka juga sebenarnya tidak mampu melakukan apa2.

Tanpa Nama berkata...

golongan peniaga kecil perlu dibantu supaya mereka boleh meneruskan perniagaan mereka tanpa rasa terbeban dengan sewa premis.