KUCHING: DAP memberi amaran kepada parti lawan supaya tidak bermain taktik kotor dan mensabotaj peralatan serta program parti itu sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.
Menurut calonnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa, Chong Chieng Jen, mereka akan membuat laporan polis dan memaklumkan perkara itu kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk diambil tindakan segera.
"Peralatan kempen seperti bendera yang dikibarkan sejak tiga hari lalu di pusat operasi DAP Batu 10 rosak teruk. Perbuatan itu dipercayai dilakukan oleh sekumpulan individu tertentu," katanya pada sidang media di sini, Khamis.
Jelas beliau, perbuatan itu bukan saja membuktikan kelemahan lawan tetapi memberi gambaran awal bahawa mereka tidak yakin dapat menang pada pilihan raya negeri ke-10.
"Anda akan cuba melakukan apa saja untuk menghentikan program lawan jika tidak yakin dengan kemampuan parti sendiri. Oleh itu, saya mengingatkan kumpulan itu supaya tidak mensabotaj kempen parti lain," tegasnya.
Chieng Jen berkata, perkara seperti itu pernah berlaku pada Pilihan Raya Umum 2008 di mana petugas sistem audionya digertak sekumpulan samseng yang diupah individu tertentu untuk menjejaskan program mereka.
Selain itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng amat berpuas hati dengan jumlah penonton yang hadir pada ceramah mereka walaupun kempen baru saja bermula semalam.
"Jumlah pada hari pertama kempen itu diluar jangkaan kami. Itu permulaan baik untuk parti. Jadi kita perlu menggandakan usaha dan mengharapkan yang terbaik pada pilihan raya negeri ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan