Jumaat, 8 April 2011

Prinsip Maqasid Syariah Mantapkan Ekonomi Selangor

TVS NEWS


SHAH ALAM : Kerajaan negeri Selangor bertekad memajukan ekonomi Selangor berlandaskan prinsip maqasid syariah yang berpaksikan ketelusan, kebertanggungjawaban dan urus tadbir yang baik kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Khalid, prinsip maqasid syariah atau dalam bahasa Melayu nya "tujuan syariah" ini harus dimulakan dengan seluruh pegawai kerajaan berusaha menambah kefahaman mengenainya supaya ia mudah diaplikasikan dalam pentadbiran sehari-harian.

"Saya berpandangan betapa pentingnya bagi kita melihat hubungan, khususnya kepentingan asas dalam maqasid ini dalam usaha memahami dan melaksanakan dasar ekonomi yang bersesuaian, perlindungan agama, jiwa, akal, keturunan dan harta adalah ciri universal yang sebenarnya mempunyai pengaruh besar dalam ekonomi.

" Ia melibatkan komitmen dalam pembentukan dasar yang bukan sahaja adil,tetapi membebaskan,ia juga menuntut sebuah pemerintahan berasaskan hukum dan kerukunan hidup yang membentuk masyarakat madani," katanya di hadapan 1000 hadirin pada Majlis Taklimat Maqasid Syariah Pembangunan Ekonomi Negeri Selangor, di Dewam Jubli Perak, Shah Alam hari ini.

Menurut Khalid, maqasid syariah ini juga penting dalam peranan pembentukan individu sehinggalah kepada sebuah negara yang sempurna.

" Sungguhpun peraturan yang ditetapkan Islam tidak menyekat kebebasan manusia mencari rezeki tetapi mengelakkan daripada kegiatan yang boleh merugikan orang lain, malah Islam membuka lebih banyak jalan dan jenis perusahaan yang halal dan membawa berkat,"kata Khalid.

Turut hadir pada taklimat berkenaan ialah Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Khusrin Munawi dan Pengerusi Wadah, Dato' Dr Siddiq Fadzil.

Dalam pada itu, Pengerusi Wadah Dato' Dr Siddiq Fadzil menjelaskan, dalam keghairahan membangunkan ekonomi, pimpinan negara tidak harus mengenepikan prinsip maqasid syariah yang boleh membantu melancarkan urus tadbir sesebuah kerajaan.

Dengan memberi perumpamaan " ibarat berkebun, punya pohan tetapi tidak pernah berbuah" Siddiq menyifatkan begitu kepada pengamal kepimpinan yang tidak menyertakan prinsip maqasid syariah dalam urus tadbirnya.

"Dalam ramai yg menunaikan zakat tetapi meningkat juga kadar kemiskinan, dalam ramai yang rajin ke surau (solat), rasuah ada juga, jadi yang tidak kena di mana?, Inilah akan berlaku jika asyik melaksanakan hukum sehinggakan terlupa adakah apa yang dikerjakan itu mencapai objektifnya maqasid syariah,"katanya.

Siddiq menambah, sifat bermaruah juga sangat penting sebagai pelengkap untuk menjamin keberkesanan maqasid syariah.

"Orang yang tahu malu, adalah orang yang sedar tentang maruah dirinya, dan orang yang tidak rela dimalukan adalah orang yang sedar akan maruah dirinya, hanya orang yang tidak bermaruah apabila dimalukan hanya senyum sahaja, begitu juga yang bermaruah tidak akan melakukan sesuatu yang tidak wajar,"tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Anwar yang Ketua Pembangkang Malaysia berkata, amalan maqasid syariah dalam sesebuah pengurusan memberi satu jaminan kepada rakyat dalam pengagihan hasil kekayaan negeri.

Dengan memberi contoh negeri Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Anwar merumuskan kejayaan yang dikecapi di Selangor juga adalah atas dokongan para pegawai yang turut sama mengamalkan prinsip maqasid syariah selain daripada ketelusan yang diamalkan Khalid dan barisan exconya.

"Pembangunan itu menuntut kita membetulkan kerangka kita, kejayaan Tan Sri Khalid, tentu kerana kejayaan pegawai-pegawai, kejayaan GLC, kerana hasil yang tertambah itu memungkinkan kita mengagihkan," kata Anwar.

Pentadbiran Pakatan Rakyat di Selangor sejak Mac 2008 menyaksikan negeri termaju di Malaysia itu menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan pada tahun
2010.

Rekod Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) 2010 mencatatkan kadar 6.1 peratus berbanding defisit tahun sebelumnya - 1.6 peratus.

Pertumbuhan positif ini adalah peningkatan dalam permintaan domestik dan eksport serta pelaksanaan ekonomi makro yang memberangsangkan penggunaan dan
pelaburan swasta dalam negeri Selangor.

Mengulas situasi positif ini, Anwar yang juga pernah dinobatkan sebagai Menteri Kewangan Terbaik Dunia memuji kejayaan yang telah dibawa oleh pentadbiran Khalid Ibrahim sambil menyifatkan ketokohan Khalid sukar dicari ganti dalam dunia hari ini.

"Menteri besar Selangor, saya sangat hormati, saya senang dengan khidmat dan pengorbanan beliau terutama dari isu tata kelola, pemimpin yang jujur dan berintegriti, sedarlah saudara dan saudari, susah dapat, percayalah.

"Sebab itu kita perlu jaga kerana kita dapat tonjolkan pemimpin yang mampu memegang dan memikul amanah," tambahnya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai prinsip maqasid syariah dalam tata kelola kerajaan, Anwar turut mengingatkan supaya pertimbangan moral dan integriti digunakan sebaiknya.

" Dan bagaimana pertimbangan moral itu perlu ada, jangan hanya kerana perlumbaan (persaingan kuasa politik) sanggup melakukan apa sahaja, rompak rampas, hina, aib, fitnah, ianya tidak boleh kerana kita berakhir dalam kubur,"kata Anwar.

Tiada ulasan: