Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Ops 3B akan diteruskan dalam ketegasan kerajaan melawan rasuah amat menyedihkan. Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat, Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar) berkata, ini memandangkan ketegasan yang sama tidak pernah kelihatan dalam melawan rasuah melibatkan pimpinan politik Barisan Nasional. “Ini bukan kali pertama kerajaan BN lebih tegas bertindak terhadap penjawat awam berbanding pemimpin mereka sendiri,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau mengulas tragedi kematian Ahmad Sarbani Mohamed, Penolong Pengarah Pejabat Kastam Pelabuhan Klang yang mengejutkan rakyat Malaysia. Allahyarham ditemui meninggal dunia di Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane pada 6 April yang lalu. Tambahnya, terlalu banyak persoalan yang masih tidak terjawab tentang kematian Allahyarham Sarbani yang berlaku ketika Suruhanjaya Siasatan DiRaja tentang kematian Teoh Beng Hock sewaktu siasatan SPRM. Kebetulan pula, ujarnya Allahyarham tinggal di kuarters Kastam yang terletak di kawasan Dun beliau, Seri Setia. “Beberapa hari yang lalu saya mendapat maklumat bahawa pegawai-pegawai Kastam merasakan diri mereka menjadi kambing hitam dalam Operasi 3B yang dilaksanakan oleh SPRM untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan Kastam,” katanya. Justeru, katanya Suruhanjaya Siasatan DiRaja mesti ditubuhkan untuk mensyiasat kematian Allahyarham Sarbani dengan serta-merta dengan melibatkan masyarakat sivil serta menyiasat struktur dan organisasi SPRM dalam kes ini. Katanya lagi, kenyataan Najib bahawa Allahyarham Sarbani datang ke SPRM secara sukarela tidak masuk akal memandangkan beliau telah ditahan dalam Ops 3B pada 1 April dan dibebaskan atas ikatjamin pada 2 April yang lalu. “Mengapa beliau hendak ke SPRM sekiranya tidak dipanggil oleh SPRM?” soalnya. Menurutnya, sudah tersebar SMS kononnya meskipun kematian Allahyarham Sarbani dikesali namun ketegasan kerajaan menentang rasuah harus mendapat sokongan rakyat. Soalnya, siapa yang bertanggungjawab menghantar SMS begini ketika Allahyarham Sarbani baru sahaja dikebumikan. Tambahnya, Najib dan Nazri juga mengambil kesempatan meneruskan desakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja dalam isu video Datuk T. Menurutnya, malang sekali pemimpin BN nampaknya lebih mahu bermain politik dan bukannya menjawab persoalan yang bermain di minda ramai penjawat awam dan rakyat umum yang cintakan keadilan dan kebenaran. Pada masa yang sama, beliau berharap pihak Cuepacs dapat tegas memperjuangkan kebajikan penjawat awam yang disiasat oleh SPRM dan seolah-olah bersalah sebelum diputuskan oleh mahkamah. “Kami juga berharap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang baru ditubuhkan dapat memulakan siasatan ini untuk memulihkan keyakinan penjawat awam dan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan selepas rentetan satu demi satu kes malang,” katanya. |
Sabtu, 9 April 2011
PM tegas lawan rasuah pegawai kerajaan!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan