KUCHING : Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengiringi calon N.08 Satok, Ahmad Nazib Johari ke pusat penamaan calon di Sekolah Rendah Kebangsaan Merpati Jepang.
Lebih 100 Angkatan Muda Keadilan(AMK) turut menyertai perarakan calon dari bilik gerakan utama Satok bermula pada jam 8.20 pagi dan tiba di perkarangan pusat penamaan calon sekitar jam 8.35 pagi.
Sekitar jam 8.56 pagi, lebih 500 orang penyokong Barisan Nasional (BN) mengiringi calon mereka Datuk Amar Abg Johari Tun Openg di perkarangan pusat pembuangan undi.
Kedua-dua mereka menyerahkan borang penamaan kepada pegawai pengurus pusat penamaan calon Onn Abdullah sejurus tempoh menghantar borang pencalonan di buka.
AMK kemudiannya membuat bantahan berhubung masalah teknikal pada kertas pencalonan Amar Abg Johari kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Bagaimanapun SPR menolak bantahan tersebut dengan dipersetujui Ahmad Nazib dan peguamnya.
Dalam perkembangan yang sama Dr Wan Azizah dilaporkan bergegas ke pusat penamaan calon N.04 Pantai Damai bagi menyokong seorang lagi calon PKR, Wan Zainal Abidin Wan Senusi.
Sementara itu, Ahmad Nazib yang ditemui selepas selesai proses pengesahan calon pada jam 11 pagi tadi menyuarakan iltizam politiknya untuk mengajak rakyat pribumi menyelamatkan Sarawak dari terus diperintah oleh ketua menterinya Abdul Taib Mahmud dan Barisan Nasional.
"Harapan saya kepada seluruh rakyat (DUN) Satok, kita akan membawa perubahan ke kawasan ini,".
"Dan saya memerlukan sokongan daripada pengundi-pengundi Satok agar memilih parti yang baru (iaitu) parti yang dinamik, bukan seperti parti yang memerintah sekarang yang sudah lapok,".
"Rakyat seharusnya sedar, celik dan matang untuk memilh sejauhmana wakil rakyat itu membawa obor dan suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri.
"Kekuatan orang muda, jiwa muda dan pemikiran muda mampu membawa suara belia di sini supaya memikirkan masa depan yang lebih jauh untuk membangunkan kawasan ini."
"Terdapat beberapa isu tanah yang menjadi keutamaan kami di kawasan ini, terutama isu tanah di kawasan Kampung Kude Baru."
"Kalau persaingan ini dianggap persaingan yang sengit, saya lihat persaingan ini antara orang tua dan orang muda,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan