Sabtu, 2 April 2011

Pemandu teksi Pulau Pinang serah memorandum kepada PM

BERNAMA

GEORGETOWN: Gabungan Pemandu Teksi Pulau Pinang hari ini menyerahkan memorandum mengenai masalah yang dihadapi oleh mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Memorandum itu disampaikan oleh Pengerusinya, Abdul Malik Darus, di majlis taklimat ringkas yang diadakan sejurus selepas Najib tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di sini sempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri ke Pulau Pinang.

Antara kandungan memorandum itu merujuk kepada kadar tambang teksi bermeter yang rendah dan tidak sesuai dengan keadaan di Pulau Pinang, kewujudan teksi serta kereta sewa yang tidak berdaftar dan pertukaran status teksi kepada kereta sewa.

"Ini bukan memorandum pertama kami serahkan, sebelum ini pun dah diserahkan tetapi mungkin tidak sampai terus kepada Perdana Menteri, hari ini kami sampaikan sendiri, harap dapat pertimbangan segera," kata Pengerusi Persatuan Teksi Queensbay, Mohd Shukri Yaakop.

Katanya, pemandu teksi Pulau Pinang juga berharap agar kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengusaha dan pemilik kereta sewa tidak berdaftar.

Najib yang tiba untuk lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang turut meluangkan masa beramah mesra dengan pemandu-pemandu teksi dan sempat menampal pelekat "1Malaysia" di sebuah teksi milik Asmadi Md Salleh.

Tiada ulasan: