KUALA LUMPUR — Pertikaian mengenai kesahihan barisan kepimpinan Cuepacs berterusan dengan perkembangan terbaru beberapa kesatuan gabungan mahu membangkitkan status mesyuarat kongres khas badan induk kesatuan sekerja sektor awam itu hari ini.
The Malaysian Insider difahamkan beberapa kesatuan gabungan akan membangkitkan keputusan Cuepacs mengadakan mesyuarat khas kongres sedangkan ia sepatutnya memanggil mesyuarat kongres biasa — yang pertama — selepas persidangan dan pemilihan Disember lalu. Mesyuarat kongres khas akan diadakan di ibu negara pagi ini.
Keputusan pemilihan Cuepacs yang diadakan Disember lalu juga dipertikaikan dan kes berkaitan telah pun difailkan di Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja.
“Tindakan Cuepacs memanggil mesyuarat kongres khas tidak wajar, ia patut memanggil mesyuarat kongres biasa, lebih-lebih lagi selepas persidangan perwakilan Disember lalu,” kata Presiden Kesatria Ahmad Shah Mohd Zin kepada The Malaysian Insider.
Kesatria merupakan salah satu kesatuan gabungan Cuepacs. Bekas setiausaha agung Cuepacs ini juga berkata, pihaknya dimaklumkan Cuepacs memanggil mesyuarat khas kongres, dengan enam agenda untuk dibincangkan, atas alasan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat gabungan kesatuan-kesatuan sekerja awam itu.
“Sepatutnya Cuepacs memanggil mesyuarat kongres biasa untuk menerima keputusan-keputusan yang telah dibuat pada persidangan dan mengesahkan jawatankuasa-jawatankuasa yang telah dibentuk... tetapi ini tidak dilakukan.
“Jadi, status mesyuarat hari ini menjadi fokus pertikaian dan akan ada beberapa kesatuan gabungan yang akan membawa usul mempersoalkan status mesyuarat hari ini dan akan meminta ia ditangguhkan,” katanya lagi.
Ahmad Shah berkata, notis memanggil mesyuarat khas ini yang ditandatangani setiausaha agung baru juga menjadi tumpuan pertikaian kerana ia menggariskan enam agenda.
“Sedangkan, lazimnya mesyuarat khas hanya akan membahaskan satu isu yang menjadi pertikaian, bukannya enam agenda,” kata beliau lagi.
Akhir Disember lalu, beberapa anggota gabungan Cuepacs, yang mempertikaikan keputusan pemilihan badan induk kesatuan sektor awam itu, meminta Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja menggantung segala aktivitinya sementara hasil siasatan diumumkan.
Ramli Omar, yang mewakili kesatuan-kesatuan gabungan terbabit berkata, pihaknya berharap jabatan itu akan mengarahkan agar segala aktiviti Cuepacs digantung bagi mengelakkan implikasi pengurusan dan pentadbiran.
“Selagi keputusan tidak dibuat oleh jabatan, kami mengandaikan keputusan-keputusan yang dibuat oleh barisan kepimpinan yang menang, apa jua keputusan dibuat akan memberi kesan ke atas Cuepacs,” kata beliau yang bertanding jawatan presiden tetapi tewas di tangan Datuk Omar Osman, awal Januari lalu.
Kesatuan-kesatuan terbabit mengemukakan bantahan mendakwa berlaku pelanggaran perlembagaan dan peraturan pada Konvensyen Cuepacs ke-25 yang berlangsung pada 21 hingga 23 Disember lalu.
Surat bantahan itu disampaikan oleh bekas Timbalan Presiden Cuepacs Husain Mohd Yasin kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Omana P.V.C Pillai pada 29 Disember lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan