KUCHING – Kesemua 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak menyaksikan pertandingan – kali pertama sejak tahun 1987.
Seramai 213 calon disahkan layak bertanding pilihan raya negeri ke-10 ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa 27 kerusi menyaksikan persaingan satu lawan satu, 23 membabitkan pertarungan tiga penjuru, 17 (empat penjuru) dan dua masing-masing lima dan enam penjuru.
Kerusi yang membabitkan persaingan enam penjuru ialah Balai Ringin dan Belaga manakala Ngemah dan Jepak menyaksikan pertarungan lima penjuru.
Dalam pada itu, Bernama Online melaporkan Barisan Nasional (BN) bertanding di kesemua 71 kerusi, DAP (15 calon), Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) (26), PKR (49), PAS (lima) dan Parti Cinta Malaysia (enam) (6) selain 41 calon Bebas.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daripada jumlah 213 calon, seramai 16 orang adalah wanita iaitu BN, DAP dan PKR masing-masing empat orang, sementara PAS dua orang dan Parti Cinta Malaysia dan Bebas masing-masing seorang.
Abdul Aziz berkata selepas selesai tempoh bantahan pada pukul 11 pagi, sebanyak 32 bantahan telah dikemukakan dan setelah diteliti, satu bantahan diterima dan kertas pencalonan tersebut ditolak.
“Ia (bantahan yang diterima) melibatkan DUN Kakus iaitu calon Snap. Ini kerana calon, penyokong dan pencadang tidak menandatangani ketiga-tiga borang yang diserahkan.
“Sebanyak 31 bantahan lagi ditolak, dan kertas penamaan calon-calon itu diterima dan mereka layak untuk bertanding dalam pilihan raya. Bantahan-bantahan itu terlalu kecil seperti ada pihak mempersoalkan penggunaan huruf kecil dan nama tiada ‘bin’. Ini kita pertimbangkan. Keputusan RO (Pegawai Pengurus Pilihan Raya) adalah berdasarkan undang-undang,” katanya.
Mengenai dakwaan parti pembangkang bahawa calon PAS Noraini Hamzah sepatutnya menang tanpa bertanding di DUN Muara Tuang kerana calon BN Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud gagal mengemukakan penyata kewangan pilihan raya lepas, Abdul Aziz berkata semakan SPR mendapati Mohammad Ali telah berbuat demikian.
Beliau berkata proses penamaan calon berjalan lancar di semua pusat penamaan calon dan keadaan keselamatan telah dikawal dengan baik oleh polis.
“Tiada sebarang kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku yang boleh mengganggu kelancaran proses penamaan calon sepanjang tempoh tersebut.
“Parti-parti dan calon-calon yang bertanding serta penyokong mereka telah memberikan kerjasama dan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh SPR dan polis. Tempoh berkempen bermula hari ini dan berakhir pada pukul 12 tengah malam 15 April,” katanya.
Bagi calon yang hendak menarik diri, katanya tarikh akhir untuk berbuat demikian adalah pada 12 tengah malam 9 April kerana kertas undi akan dicetak pada 10 April.
Mengenai jumlah calon Bebas yang terlalu ramai iaitu 41 orang, Abdul Aziz berkata beliau difahamkan ini adalah jumlah calon Bebas paling ramai dalam pilihan raya negeri Sarawak.
“Saya gembira dengan keadaan ini kerana ini menunjukkan demokrasi subur di negara ini. Sesiapa pun boleh bertanding walaupun takde parti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan