Khamis, 7 April 2011

Kes Sarbani: Kastam tak cadang adakan siasatan dalaman

THE MALAYSIAN INISDER

KUALA TERENGGANU— Kastam Diraja Malaysia tidak bercadang melakukan siasatan dalaman berhubung kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohamed Khalil Yusuf berkata siasatan kes itu sebaliknya memadai dilakukan oleh pihak polis.

Sebagai individu yang tidak berada di tempat kejadian, Mohamed Khalil dipetik Bernama Online berkata adalah tidak wajar untuk beliau membuat ulasan berhubung insiden itu.

“Kita kena hormat dengan yang telah pergi, saya tidak boleh komen banyak dan serah perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

“Saya dan rakan-rakan lain tidak tahu banyak kerana tidak berada di sana, jadi biarlah pihak yang berkenaan melaksanakan tugas mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini semalam.

Mohamed Khalil berada di Terengganu untuk menghadiri Mesyuarat Pengarah Kastam Semalaysia kali ke-65 di Tasik Kenyir yang bermula Isnin lepas dan sepatutnya berakhir hari ini.

Ahmad Sarbani, 56, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi.

Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan SPRM dalam Operasi 3B pada pukul 1 petang, 1 April lalu di Pejabat Kastam, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan dengan jaminan pada 2 April.

Mohamed Khalil turut meminta pegawai-pegawainya yang terlibat dalam siasatan Suruhunjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak bertindak melulu sebaliknya perlu bertenang, bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.

Tiada ulasan: