Hakim Mat Ghani Abdullah juga membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar keempat-empat pegawai Imigresen terbabit, Ahmad Zahed Abd Alim, 28; Mohd Hafiz Zakaria, 27; Mohd Khairul Haqimie Kamarudin, 26, dan Azmir Mahadi, 28, dibicarakan bersama.
Ahmad Zahed didakwa melakukan 12 kesalahan menerima rasuah berjumlah RM13,590 di Maybank Cawangan Bukit Tinggi dan Pelabuhan Klang antara 26 Julai dan 28 Ogos, lapor Bernama Online hari ini.
Mohd Hafiz, dari Pelabuhan Klang pula didakwa melakukan empat kesalahan menerima suapan membabitkan RM8,640 di CIMB Bank Cawangan Pelabuhan Klang, Eon Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Kuarters Imigresen di Pandamaran, Klang antara 25 dan 30 September.
Mohd Khairul Haqimie dari Sungai Buloh pula didakwa melakukan tiga kesalahan membabitkan RM7,350 di Maybank Cawangan Bukit Tinggi dan Restoran Moden Simpang Kudrat, Klang, antara 28 Ogos dan 28 September.
Seorang lagi pegawai Imigresen, Azmir dari Melaka, didakwa melakukan enam kesalahan membabitkan nilai suapan RM5,710 di Affin Bank Cawangan Pelabuhan Klang dan Stesen Minyak Shell Pelabuhan Klang, antara 15 dan 28 Ogos tahun lepas.
Semalam, lapan pegawai Imigresen termasuk keempat-empat tertuduh yang bertugas di bahagian Perkapalan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang dekat sini, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas 83 pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM122,140 sebagai upah bagi memudahkan kemasukan penumpang warga Indonesia ke Malaysia tanpa perlu mematuhi syarat.
Selain empat pegawai terbabit, turut dituduh ialah Md Shahrizal Che Dan, 26; Nor Shahazlina Sulaiman, 25; Mohamad Izuwanshah Samsuri, 25; dan Mohamad Huzzail Ahmad, 31.
Pendakwaan terhadap semua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan