Badrul dan peguamnya Datuk Mohd Hafarizam Harun dihadap ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas kesalahan menghina Speaker Dun Selangor.
SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah dan peguamnya akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor selepas berakhir pilihan raya negeri (PRN) Sarawak nanti.
Badrul dan peguamnya Datuk Mohd Hafarizam Harun dihadapkan ke Jawatankuasa itu atas kesalahan menghina Speaker Dun Datuk Teng Chang Khim.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, “kami akan selesaikan perkara ini minggu depan kerana ramai Adun terutama daripada Pakatan Rakyat sibuk dalam PRN Sarawak. Ini termasuk Speaker yang juga berada di Sarawak.”
Menurut Pengerusi Jawatankuasa itu, M Manoharan, yang juga Adun Kota Alam Shah, tarikhnya akan ditetapkan pada bulan April ini.
“Kami akan tetapkan tarikh bagi Badrul dan Hafarizam untuk dirujuk ke Jawatankuasa pada bulan ini juga. Kami akan beritahu tarikhnya kemudian,” katanya yang dihubungi FMT.
Manoharan dilantik sebagai pengerusi bagi menggantikan Teng untuk menyiasat dakwaan ini bagi mengelak siasatan secara berat sebelah.
Pada 1 April lalu, Badrul dan Hafarizam yang juga penasihat Undang-Undang Umno dirujuk atas tuduhan mereka secara berasingan atau bersama melakukan kesalahan menghina Dewan dengan menghantar sepucuk surat bertarikh 29 Mac lalu kepada Teng dengan menggunakan bahasa yang amat tidak senonoh, biadab dan mengugut.
Perkara itu diputuskan Timbalan Speaker Haniza Talha dalam sesi perbahasan Dun setelah diusulkan oleh Menteri Besar yang juga Adun Ijok dan dipersetujui Adun Batu Tiga Rodziah Ismail.
Khalid semasa membentangkan usul itu berkata, surat mengenai isu kes mahkamah tentang status kerusi Dun Pelabuhan Klang yang dihantar Badrul dan Hafarizam itu dihantar kepada Teng Selasa lalu semasa sesi Dun masih bersidang.
Sementara itu, Khalid berkata kerajaan Negeri turut melantik ahli korporat terkenal Raja Idris Raja Kamaruddin sebagai perunding eksekutif dan penasihat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan anak-anak syarikatnya.
Pelantikan itu yang dibuat selepas berunding dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan melalui Menteri Besar Incorporated (MBI) berkuatkuasa pada 5 April lalu.
Beliau bertangungjawab mengawasi urusan perniagaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan anak-anak syarikatnya.
Raja Idris menggantikan Datuk Abdul Karim Munisar yang meletakkan jawatan pada tahun 2008.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan