Jumaat, 8 April 2011

Jentera PR Mesti Takluk Seluruh Sarawak Jika Mahu Menang, Tegas Anwar

Ditulis oleh nurul fahimah abdul malik


LIMBANG : Jentera Pakatan Rakyat perlu turun ke seluruh pelusuk negeri Sarawak sepanjang kempen pilihanraya negeri jika mahu kemenangan direalisasikan, kata Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Setiap calon-calon Pakatan itu adalah calon kita. Kita perlu bekerjasama sebagai satu pasukan.

"Ini merupakan semangat muafakat dan strategi kempen yang perlu diatur supaya tiada mana-mana kawasan pun yang tertinggal untuk mendapat maklumat.

"Saya yakin Pakatan Rakyat akan memberi kejutan yg hebat pada pilihan raya sarawak kali ini. Sehingga kini, di kebanyakan tempat, calon kita tidak hilang atau dibeli dan Barisan Nasional tidak menang percuma," katanya semasa melawat bilik gerakan Keadilan dan DAP di pekan Limbang, hari ini.

Terdahulu sebelum itu, beliau melawat pusat penamaan calon di Dewan Tertutup Limbang bersama calon Batu Danau, Dr Lau Liak Koi.

Anwar turut bertemu masyarakat Iban di rumah Panjang Lubok Simpor dan Jembatan Lubai dekat Lubai Tengah, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, masih ada lagi kawasan yang perlu digempur, terutamanya di kawasan yang didiami oleh penduduk berketurunan Melayu Islam.

"Apa yang perlu dilakukan sekarang ini adalah penumpuan di kawasan Melayu.

"Berbanding orang Dayak dan Bidayuh yang menunjukkan sokongan padu, orang Melayu perlu diberikan keyakinan.

"Mulai sekarang, tiada masa untuk rehat kepada kita. Kita perlu bergerak terus untuk mencapai kemenangan," tegas Anwar.

Penamaan calon semalam menyaksikan semua kerusi di DUN Sarawak ditandingi oleh Barisan Nasional dan ditentang hebat oleh Pakatan Rakyat dan parti lain.

Sebanyak 213 calon bertanding pada pilihanraya 16 April ini, yang mencatatkan jumlah paling ramai dalam sejarah pilihanraya negeri.

Tiada ulasan: